Friday, April 23, 2010

Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut di Sabah


tarian Mangunatip ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Melalui nama tarian ini sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identiti suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip” diambil dalam perkataan Bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan ketika menari.

Selain itu, tarian ini juga memerlukan buluh sebagai alat utama kerana tanpa buluh, tarian ini tidak akan berjaya. Batang buluh pula mestilah jenis yang sesuai dan melalui beberapa proses sebelum dijadikan sebagai alat tarian. Buluh tersebut akan ditebang mengikut saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat buluh akan bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya ia dilukis bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.

Seterusnya, ketika tarian ini ditarikan kita dapat melihat gerakan badan, tangan dan kaki penari. Tarian yang lemah-gemalai dan memerlukan kepantasan kaki sangat menguja perasaan penonton. Tarian dimulakan dengan rentak perlahan dan lama-kelamaan, buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari mengikut rentak bunyi buluh tersebut. Pada masa inilah kemuncak Tarian Mangunatip kerana para penari akan melalui buluh dengan cepat dalam tempoh beberapa minit sebelum mengakhiri tarian.

Di samping itu, pakaian yang dipakai oleh para penari menambahkan lagi keistimewaan tarian tradisi masyarakat Murut. Pakaian yang berwarna-warni dan dihias dengan manik-manik yang pelbagai jenis menambahkan lagi keayuan dan kesegakkan penari. Aksesori wanitanya pula begitu unik seperti “salupai” yang dipakai di kepala, pipirot” iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai dan sebagainya. Manakala penari lelaki tidak terkecuali menjadi bahan tarikan penonton melalui pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan “tupi sinulatan” yang dipakai di kepala. Senjata yang digunakan oleh penari lelaki iaitu parang dan perisai melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut dan mengingati pahlawan kaum ini iaitu Antanom yang terkenal dengan keberaniannya menentang penjajah.

Setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.




No comments:

Post a Comment