Sunday, February 7, 2010

Gangguan mental jangan dipandang remeh

Bipolar penyakit gangguan mental

(Utusan Malaysia, 5 september 2006)

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SIBUK dengan tugasan harian sama ada di rumah atau di tempat kerja sering membuatkan manusia mengalami perubahan mood atau perasaan.

Kadang kala mereka akan berasa terlalu gembira dan sebaliknya. Mereka mungkin tertekan dengan tanggungjawab yang dipikul sehingga menyebabkan rasa sedih.

Pengalaman tersebut pernah dilalui oleh Susan, seorang pesakit yang mendapat rawatan daripada Persatuan Psikiatrik Malaysia (PPM), sebelum dia mengetahui bahawa dia menghidap penyakit bipolar.

Tidak sedar dirinya mengalami gangguan mental, Susan menganggap perubahan mood yang dialaminya sebagai perkara yang normal.

“Saya sering menganggap perkara yang saya lakukan adalah betul dan pendapat orang lain adalah salah.

“Pada fikiran saya, perubahan sikap yang silih berganti tidak ada kaitannya dengan penyakit mental kerana saya berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik,” katanya pada majlis pelancaran kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Atas dorongan sahabat baiknya, Susan berjumpa doktor dan menceritakan semua masalahnya.

“Pada mulanya, apabila saya disahkan menghidap penyakit bipolar, saya mendapati tiada siapa atau tempat untuk mengadu masalah dan membantu saya memahami perubahan ragam lampau yang mula mengawal kehidupan saya.

“Saya terpaksa mencari sendiri bahan-bahan atau maklumat tentang gangguan bipolar dan selalunya maklumat diperoleh daripada sumber antarabangsa,” ujarnya.

Sebagai pesakit bipolar, dia berkata, kefahaman yang lebih baik tentang penyakit tersebut telah membantunya menjalani kehidupan lebih sihat dan ceria.

Sementara itu, kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku ini telah dilancarkan oleh PPM sempena Kongres Psikiatrik Sedunia Ke-19 (WCP), yang dianjurkan sempena persidangan mengenai Perubatan Psikologi Malaysia Ke-12 (MCPM).

Kempen tersebut bertujuan mewujudkan tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan orang ramai tentang penyakit mental bipolar yang sering tidak diberi diagnosis tepat.

Gangguan bipolar ialah penyakit mental yang menjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi.

Seseorang yang mengalami gangguan ini mengalami perubahan ragam atau mood daripada perasaan terlalu ghairah (mania) kepada terlalu resah (kemurungan).

“Gangguan bipolar amat membebankan pesakit dan keluarga mereka dan boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan, jangka hayat lebih pendek, pengasingan sosial dan kualiti hidup kurang baik,” kata Presiden PPM, Profesor Dr. Maniam Thambu.

Malah, di negara-negara maju sekalipun, pesakit bipolar sering diberikan diagnosis awal yang salah kerana doktor mereka kurang memahami gejala yang dialami.

Jika tidak dirawat, gangguan bipolar mendatangkan masalah besar kepada pesakit kerana menganggu fungsi kehidupan harian termasuk dalam pekerjaan. Ia juga mengundang pandangan serong masyarakat terhadap seseorang yang mengalami sebarang gangguan mental.

Namun, situasi ini boleh diubah dan berdasarkan laporan Majlis Penasihat Kesihatan Mental Amerika Syarikat, kadar kejayaan rawatan bagi gangguan bipolar agak cemerlang iaitu 80 peratus.

Malah, dengan rawatan yang sewajarnya, pesakit bipolar boleh mendapatkan kembali kira-kira tujuh tahun kehidupannya, menjalankan kegiatan utama dengan berkesan selama sepuluh tahun dan mengekalkan kesihatan normal selama sembilan tahun yang selalunya hilang akibat penyakit tersebut.

Mengulas mengenai situasi tersebut di Malaysia, pengerusi penganjur kempen, Dr. Abdul Kadir Abdul Bakar, berkata, dengan pendedahan dan pendidikan sempurna kadar kejayaan rawatan di negara ini mencapai tahap yang setanding negara asing.

Beliau menjelaskan, tahap kesedaran umum yang lebih tinggi akan mengurangkan tanggapan yang negatif tentang penyakit ini dan menggalakkan pesakit memainkan peranan proaktif untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Dr. Abdul Kadir, rawatan bagi penyakit bipolar secara amnya terdiri daripada beberapa komponen termasuk ubat-ubatan, terapi elektrokonvulsif dan rawatan psikososial.

“Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menangani penyakit anda dan mengekalkan kesejahteraan diri.

“Ini termasuklah memakan ubat, penuhi temu janji dengan doktor anda dan menghadiri sesi rawatan psikososial, serta tidur mengikut jadual yang tetap sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam.

“Selain itu, jangan mengambil alkohol, kafein atau dadah kerana ia mungkin menganggu tindakan ubat, tidur atau mood anda. Anda juga perlu berhenti atau mengurangkan merokok dan perlu bijak mengurangkan tekanan kerja dan tekanan disebabkan konflik interpersonal,” katanya.

Orang ramai seharusnya lebih peka dalam menangani masalah kesihatan mereka termasuk sering membaca informasi berkaitan penyakit tersebut supaya langkah rawatan awal boleh dilakukan.

Usaha PPM untuk memperbaiki strategi pengurusan untuk pesakit bipolar dapat dilihat melalui maklumat dalam laman web rasmi kempen ini di http://www.psychiatry-malaysia.org

Jika penyakit tidak dapat dikawal sepenuhnya, kemungkinan pesakit mengalami kelakuan yang tidak dapat dikawal (contohnya, berbelanja berlebihan, memandu secara berbahaya) dan kelakuan agresif (contohnya, menyerang orang lain dan mencederakan diri sendiri) adalah lebih tinggi.

Jadi, sebelum suatu krisis berlaku, senaraikan tanda-tanda awal bagi membantu orang lain mengenalpasti apabila anda perlukan bantuan.

Selain itu kata Dr. Abdul Kadir, pesakit perlu menyediakan satu pelan krisis bersama keluarga dan doktor mengenai apa yang perlu dilakukan apabila satu krisis berlaku dan apabila sepatutnya anda perlu dihantar ke hospital.

“Pesakit juga perlu mendapatkan bantuan perubatan sebaik sahaja merasa mood atau paras tenaga berubah di samping sentiasa memastikan bahawa persekitaran sentiasa selamat,” katanya.

SIMPTOM-SIMPTOM PENYAKIT BIPOLAR

- Mood terlampau tinggi. Contohnya, terlampau gembira.

- Cuma memerlukan masa tidur yang pendek.

- Cepat marah.

- Lebih aktif daripada biasa.

- Bercakap dengan kuat dan cepat.

- Fikiran yang berserabut.

- Kesukaran memfokus.

- Lemah pertimbangan

- Kemurungan

- Murung dan sedih.

- Rendah harga diri.

- Hilang minat terhadap perkara yang biasanya digemari.

- Tidak dapat tidur.

- Hilang selera makan.

- Sentiasa letih.

- Tidak dapat menumpukan perhatian.

- Lemah pertimbangan.

- Berfikir tentang bunuh diri atau kematian.

Penyakit mental perlu dapat rawatan segera

(Berita Harian, 2 ogos 2007)


Bantuan awal mengurangkan masalah daripada menjadi lebih serius


TEKANAN kerja, masalah peribadi atau campur tangan keluarga dalam hal tertentu boleh memberi gangguan emosi kepada individu. Masalah kewangan berpanjangan atau kegagalan memenuhi keperluan hidup juga boleh menyumbang kepada persekitaran yang menyebabkan penyakit mental.

Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira satu daripada setiap 10 orang mengalami gangguan emosi atau mental. Bagaimanapun, takrif gangguan emosi didapati sangat longgar kerana panas baran, resah, gelisah, mudah bersedih, kecewa, terlalu bimbang, takut dan murung boleh dikategorikan sebagai gangguan emosi dan penyakit mental.

Tanda gangguan emosi dan penyakit mental boleh dikesan pada peringkat awal, antaranya perubahan tingkah laku yang sangat ketara, mudah marah, tiada selera makan, sukar untuk tidur, cepat kecewa dan mempunyai perasaan rendah diri yang mendalam.

Jika gejala itu berpanjangan dan gagal dikendalikan dalam tempoh dua minggu, individu berkenaan patut mendapatkan rawatan atau ahli keluarga dan rakan membantu individu itu mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

Gangguan emosi dan penyakit mental yang dibiarkan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan menjadi lebih serius dan mengakibatkan skizofrenia.

Pengarah Hospital Bahagian Hulu Kinta, Perak, Datuk Dr Suarn Singh, berkata skizofrenia berlaku akibat perubahan kimia dan biologi dalam otak.

Beliau yang juga Pakar Perunding Kanan Psikiatri (Forensik) berkata, pesakit skizofrenia biasanya mengatakan mereka mendengar bunyi tertentu atau merasa ada sesuatu yang ingin mencederakan mereka.

"Pesakit skizofrenia perlu dirawat secara intensif oleh pakar dengan dua kaedah rawatan, iaitu secara biokimia menerusi pengambilan ubat dan rawatan secara psikologi. Rawatan psikologi membabitkan kaunseling untuk pesakit dan juga keluarga," katanya pada majlis penyampaian sijil tamat kursus pendidikan keluarga untuk 42 peserta oleh Tindakan Isu Kesihatan Mental Kinta (KAMI) di Hospital Bahagia Hulu Kinta, Perak baru-baru ini.

Individu yang mengalami gangguan emosi dan mental biasanya adalah orang yang tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membiarkan masalah berkenaan membelenggu mereka hingga masalah itu menjadi lebih parah.

Masalah yang semakin sukar diselesaikan mengakibatkan krisis dan seterusnya gagal dikendalikan oleh individu berkenaan.

Dr Suarn berkata, gangguan emosi dan mental juga kerap berlaku ke atas individu yang mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah.

"Jika tidak mempunyai sokongan daripada keluarga atau majikan, gangguan ini menjadi lebih parah. Masalah mental yang serius dan skizofrenia boleh membawa kepada pesakit membunuh diri,” katanya.

Dr Suarn berkata, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kejadian membunuh diri di negara ini tiada kaitan dengan agama, kaum atau latar belakang keluarga.

"Pesakit mental yang membunuh diri biasanya disebabkan masalah peribadi atau gangguan dalam diri dan tidak berkaitan dengan pegangan agama atau tradisi budaya. Justeru, membunuh diri berlaku pada semua kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Datin Dr Ranjit Kaur Praim Singh, berkata penyakit mental bukan akibat kesilapan yang dilakukan oleh pesakit berkenaan atau keluarga mereka, tetapi disebabkan pelbagai faktor persekitaran.

Jika anda dapat mengesan tanda gangguan emosi dengan cepat, anda boleh membantu rakan sekerja, jiran atau ahli keluarga mendapatkan rawatan. Rawatan pada peringkat awal gangguan didapati dapat memberi kesan yang lebih baik.

Rawatan penyakit mental yang ada sekarang sangat efektif dan berkesan berbanding 20 tahun lalu. Kaedah lama rawatan penyakit mental tidak memberi kepentingan kepada peranan keluarga dalam merawat pesakit.

Pesakit biasanya ditempatkan di institusi dan diberi ubat serta rawatan yang difikirkan perlu oleh pakar psikiatri. "Tetapi, kini cara rawatan baru menyedari peranan keluarga sebagai penjaga dalam memulihkan pesakit. Keluarga pesakit adalah sumber amat penting untuk memudahkan rawatan psikososial bagi penjagaan menyeluruh untuk pesakit. "Kementerian Kesihatan menggalakkan pembabitan masyarakat, keluarga dan individu dalam menangani isu berkaitan penjagaan kesihatan," katanya.

Bagi membabitkan masyarakat dalam rawatan penyakit mental, Kementerian Kesihatan mewujudkan program kesihatan mental dalam komuniti, iaitu pesakit yang stabil boleh mendapatkan ubat dari klinik kesihatan berhampiran. Di Perak, Dr Ranjit berkata, program pemulihan dalam komuniti dalam bentuk psikososial dilakukan menerusi empat klinik kesihatan, iaitu di Simee, Bagan Datoh, Selama dan Tanjung Malim. Program seumpama itu dan sokongan keluarga akan membantu pesakit mental menguruskan kehidupan mereka dengan lebih sempurna.

FAKTA:
Tanda gangguan emosi/mental

  • Perubahan tingkah laku yang ketara.
  • Cepat marah
  • Hilang selera makan
  • Susah tidur
  • Mudah kecewa
  • Rendah diri
  • 4 anggota keluarga bekas imam mati dibunuh


    Anggota polis mengusung keluar salah satu mayat mangsa bunuh di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam.

    TAMPIN - Empat anggota keluarga bekas imam ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas mereka dibunuh kejam disyaki oleh cucu sendiri di dalam dua buah rumah di Kampung Batang Rokan di Gemencheh di sini semalam.

    Mayat bekas imam di kampung tersebut, Atan Daud, 90, di jumpai dalam keadaan putus tangan kiri. Dia ditemui bersebelahan mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80, yang putus tangan kanannya.


    Salah seorang ahli keluarga empat mangsa bunuh membantu polis menjalankan siasatan.

    Mayat menantu kepada pasangan itu, Ismail Awang, 76, itu pula ditemui tidak jauh dari mayat pasangan warga emas tersebut. Seorang lagi yang dibunuh ialah anak Ismail, Siti Khatijah, 22. Mayat Khatijah ditemui dengan pisau masih terpacak di dada di hadapan rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kediaman datuk dan neneknya.

    'Dia seperti dirasuk'
    (metro-4/2/20010)

    KUALA TERENGGANU: “Saya terkejut melihat wajah anak berubah menjadi bengis manakala matanya tajam merenung suami selepas menikam dada abang sulungnya dengan sebilah pisau.

    “Suami cuba menenangkannya dan berusaha merampas pisau itu, tapi perutnya turut dirodok menyebabkan dia rebah dan meninggal dunia beberapa minit kemudian,’’ kata Zainun Hassan, 50, isteri Che Mat Nik, 51, yang maut ditikam anak sendiri di rumahnya di Lorong Wan Su, Kampung Pulau Duyong di sini, awal pagi semalam. Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu berlaku selepas anak ketiganya, Sharul Azmi Che Mat, 20, yang tidur di ruang tamu bersama adik bongsunya, bangun secara tiba-tiba dan menaiki tangga menuju bilik abang sulungnya sambil membawa sebilah pisau yang diambil dari tiang rumah.

    Zainun berkata, anak sulungnya, Irwan Affendi Che Mat, 30, yang tidur bersebelahan biliknya menjerit kesakitan sambil memberitahu perutnya berlumuran darah akibat dirodok pisau dipegang adiknya. Menurutnya, suaminya cuba merampas senjata dipegang Sharul Azmi, namun suspek menikamnya menyebabkan dia rebah dan tidak sedarkan diri. Katanya, walaupun anaknya masih bersenjata, dia memberanikan diri cuba merampas pisau dari tangannya.

    “Saya lihat anak seperti dirasuk kerana ketika menyerang suami serta abang sulungnya, dia seperti tak sedarkan diri dan saya yakin bukan dia melakukannya, tetapi ada ‘sesuatu’ mendorongnya bertindak demikian. “Mujur dia mula tenang dan kemudian menangis teresak-esak seperti tak percaya melihat ayahnya tak bernyawa terbaring di lantai, manakala abang sulungnya pula cedera parah, “ katanya ketika ditemui di rumah ibu mentua berhampiran rumahnya. Berikutan kejadian itu, Zainun berkata, dia mendapat pertolongan jiran yang kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota polis tiba di rumahnya beberapa minit kemudian.

    Menurutnya, Sharul Azmi mendakwa terdengar ‘bisikan’ wanita bernama ‘Siti Aisyah’ ketika nyenyak tidur dan menuruti segala arahan yang dibisikkan itu. “Dia mendakwa suara itulah menyebabkan dia hilang kawalan dan menyerang abang serta ayahnya. Dia sendiri terkejut ketika sedar sebaik disergah saya,’’ katanya yang turut menziarahi anak sulungnya yang kini koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Zainun berkata, walau apa pun berlaku selepas ini suspek tetap anak kandungnya dan percaya perbuatannya itu dilakukan di luar sedar.

    No comments:

    Post a Comment