Wednesday, February 17, 2010

Tentang filem ‘2012’

2012

Sejak akhir-akhir ini heboh diperkatakan bahawa berakhirnya kehidupan dunia adalah pada 2012. Visualisasi melalui sebuah filem Hollywood yang diberi nama ‘2012’ kini menjadi perbincangan hangat masyarakat dunia, termasuk di Malaysia. Berita kiamat yang bersumber dari Kalender Maya dianggarkan terjadi pada 21 Desember 2012.

Dasar hujahan kiamat akan datang pada 2012 adalah sekali dalam setiap 25,800 tahun. Matahari sejajar dengan pusat Bima Sakti yang menandakan matahari berada di titik terendah kaki langit. Peristiwa itu akan terjadi pada 21 Desember 2012.

Pendapat tersebut diyakinkan oleh pakar astronomi bahawa penjajaran atau gangguan magnetik boleh menimbulkan pergeseran kutub. Diperkirakan pergeseran kutub-kutub itu berlangsung selama satu juta tahun.

Dalam karya Arguelles berjudul "The Mayan Factor: Path Beyond Technology" (Bear & Company, 1973) diungkapkan bahawa sistem kalender suku Maya mencatatkan, akan terjadi putaran besar (the great cycle) yang dijangka lima ribu dua tahun lebih pada galaksi tata suria, iaitu waktunya dari 3113 Sebelum Masihi (SM) hingga 2012 Masihi.

Kalender hitungan milik suku Maya dimulai pada tahun 3113 SM hingga 2012 Masihi. Kalender ini menandakan putaran 394 tahun sebagai Baktun. Angka tiga belas adalah angka penting dan genting bagi kaum Indian Maya. Suku ini memercayai Baktun ke-13 berakhir sekitar 21 Disember 2012.

Filem 2012 memperlihatkan gambaran datangnya kiamat berbentuk gempa bumi, hujan meteor dan gelombang tsunami yang mencampakkan sebuah kapal induk ke Rumah Putih, kediaman Presiden Amerika Syarikat.

Filem karya Roland Emmerich itu menghadirkan kesan khas (special effect) yang menarik dengan visualisasi lapisan bumi retak, tanah merekah dan bergoncangan di mana-mana. Imbasannya memperlihatkan kesan domino yang tragis iaitu gedung-gedung ranap, jalan-jalan bersimen dan berturap habis hancur, menghentam setiap kenderaan yang bergerak di atasnya. Kejadian itu merupakan efek gempa bumi maksimum berskala 13 Richter.

Selanjutnya terjadi hujan meteor berdiameter 3-6 meter yang jatuh dari awan di langit biru. Hentamannya menimbulkan getaran maha dahsyat sehingga menimbulkan lubang-lubang di tanah.

Kesan susulan daripada hujan meteor itu adalah permukaan laut menaik, menimbulkan gelombang setinggi ribuan meter. Dahsyatnya hujan meteor hingga puncak Himalaya pun tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Sebelumnya, Emmerich menggarap sejumlah filem penuh efek lainnya, seperti Independence Day, The Day After Tomorrow, dan 10,000 BC.

Ramalan ilmiah

Sebelum berjaya diangkat ke layar perak, perbincangan tentang kiamat 2012 di mulakan dengan penerbitan buku-buku yang memiliki kekuatan menyingkap rahsia yang akan terjadi pada tahun tersebut. Buku itu antara lain: "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End", "2012: Mayan Year of Destiny", "Beyond 2012: Catastrophe or Awakening?", "2012: Science or Superstition", "The Mystery of 2012: Prediction, Prophecies and Possibilities", "How To Survive 2012", "Unlocking the Secrets of 2012", dan "Fractal Time: The Secret of 2012 and a New World Age". Daripada sejumlah buku di atas, buku "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End" karya Lawrence E Joseph telah diterjemahkan ke dalam versi Bahasa Indonesia oleh penerbit Gramedia.

Sumber penulisan buku ini oleh penulisnya berasal dari sejumlah hasil seminar, jurnal ilmiah dan sejumlah temuan misi luar angkasa NASA (badan angkasa Amerika Syarikat) dan ESA (badan angkasa Eropah) serta wawancara dengan para pakar fizik dan ilmuwan luar angkasa yang sedang demam 2012.

Berdasarkan buku tersebut, bolehlah dikatakan bahawa penulisannya mengungkapkan akan terjadinya peristiwa alam maha dahsyat pada 2012 yang dapat disebut sebagai Hari Kiamat. Bencana itu disebabkan oleh berbagai-bagai faktor seperti radiasi (cahaya) panas matahari, kesan badai awan dan bintang, perubahan drastik yang terjadi di muka bumi kerana pemanasan global, pergeseran medan magnet bumi, koyaknya perisai magnet bumi dan hentaman antara planet hingga berkecai. Penulis buku tersebut bukan hanya mengetengahkan cerita Hari Kiamat berdasarkan ramalan suku Maya, juga mengajak pembaca berkelana memasuki rahsia bumi, alam semesta, matahari, sistem suria, galaksi, dan luar angkasa.

Buku-buku lain mengkhabarkan peristiwa terputusnya pancaran dari pusat galaksi yang akan merosakkan mekanisme normal sistem suria dan bumi. Kesannya adalah dislokasi dalam skala global berupa bencana kerana terjadinya pergeseran konfigurasi planet walaupun kecil.

Apabila bencana itu datang, diperkirakan tidak semua permukaan bumi akan luluh hancur sehingga menyebabkan kehidupan manusia menjadi musnah. Para ilmuan dan astronomi sedang merancang senario terburuk, termasuk dengan pendekatan ilmu kesihatan darurat. Tugas para ilmuan bukan saja berupaya menyingkap rahsia alam semesta, tetapi juga berupaya meramal dan mencari alternatif jalan keluarnya secara ilmiah.

Kini para ilmuan sedang mencari jawapan mengenai hubungan titik matahari dan ledakan-ledakan matahari dengan fenomena yang terjadi di muka bumi seperti gempa, badai, letusan danau dan pelbagai angin taufan. Pada dekad 1970-an, lebih daripada 10 satelit penelitian matahari diluncurkan sejak Helios I dan II menjelajah angkasa. Majoriti satelit tersebut dikirimkan oleh NASA dan ESA.

Pada tahun 1980, dikirim lagi misi Maksima Matahari bertujuan mengamati aktiviti suria pada puncak jangka titik matahari. Sedangkan pada tahun 1990 diluncurkan satelit Ulysses dengan tujuan khusus pada bahagian tertentu spektrum matahari seperti sinar -X, ultraviolet dan angin suria.

Satelit sebesar kenderaan BMW itu, dengan kelajuan 56,000 kilometer sejam, telah menempuh perjalanan hampir 8.85 juta kilometer atau sepadan dengan tiga kali putaran orbit matahari. Satelit ini mengakhiri tugasnya pada Jun 2009 lalu yang ditaja NASA dan ESA. Lebih daripada 1,000 artikel ilmiah dan dua buku dihasilkan daripada informasi yang diperoleh Ulysses.

Misi Ulysses berjaya mengungkap adanya angin suria dan faktor-faktor penyebabnya, selain mendalami partikel-partikel yang dipancarkan oleh matahari ke seluruh sistem suria. Ternyata aliran kuat partikel-partikel subatom yang memancar dari matahari hingga lebih satu kilometerl sejam berkurang hingga level terendah dalam 50 tahun terakhir.

Data berharga lainnya adalah info mengenai kawasan kutub matahari, debu angkasa di sistem suria, planet Jupiter dan objek transitnya. Info baru yang boleh diketahui manusia adalah soal heliosfer.

Heliosfer adalah selubung pelindung yang dihasilkan matahari melalui anginnya kepada bumi dan tujuh planet lain yang mengitarinya. Angin suria itu berperanan menyapu radiasi dan sinar kosmik yang datang dari galaksi lain.

Secara teori, heliosfer yang semakin lemah akan membuatkan masuknya sinar kosmik ke dalam sistem suria dan akan menjadi semakin besar. Radiasi sinar kosmik yang semakin kuat tentu membahayakan para angkasawan ketika berada di luar angkasa.

Ramalan lain daripada para ilmuan adalah bakal terjadinya badai matahari dahsyat yang belum pernah terjadi dalam sejarah pada 2012 nanti. Seorang ilmuan dari Lembaga Penerbangan dan Angkasawan Nasional (LAPAN) di Indonesia, Bambang S Tedjakusuma mengetengahkan, yang akan muncul pada sekitar 2011-2012 adalah badai matahari.

Ramalan ini berdasarkan pemantauan pusat pemantau cuaca angkasa pada beberapa negara semenjak tahun 1960-an di Indonesia oleh LAPAN sejak tahun 1975.

Badai kecil matahari pernah terjadi pada 4 November 2003 yang mengakibatkan saluran telekomunikasi seluruh dunia mengalami gangguan. Di Amerika Syarikat kala itu muncul sinar kutub yang sangat luas di California, sedangkan di Sweden sekitar 500 ribu penduduknya tidak memperoleh kemudahan aliran elektrik. Isyarat awal badai matahari adalah bintik matahari yang akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Sebagai satu ramalan, peristiwa itu boleh saja terjadi atau sebaliknya boleh tidak terjadi. Tugas para ilmuan adalah menyedarkan masyarakat dan mengingatkan pemerintah agar mempersiapkan langkah yang akan terjadi berbentuk penyiapan sistem kesihatan darurat agar tidak memakan korban jiwa dan kerugian material yang banyak.

Pada umumnya ada tiga langkah dalam sistem kesihatan darurat iaitu alert sign (meningkatkan kepedulian bencana), warning sign (meningkatkan perhatian terhadap tanda bersiap sedia) dan alarm sign (tindakan segera terhadap bahaya bencana).

Walaupun filem ini digarap dalam bentuk fiksyen, ia menyerlahkan keyakinan manusia bahawa alam ini suatu hari nanti pasti akan musnah. Kajian-kajian dan pemerhatian secara saintifik mendorong mereka membuat ramalan bahawa 21 Disember 2012 adalah tarikh hari besar tersebut.

Jadi, apakah sikap kita?

Setakat mempercayai bahawa alam ini akhirnya akan musnah sesungguhnya selari dengan keyakinan kita, umat Islam, yang beriman kepada hari akhirat. Namun, waktu sebenarnya berlaku kiamat itu tetap berada dalam pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui. Tugas kita di dunia hanyalah terus menjadi hamba dan khalifah-Nya, terus mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Maksudnya, kehidupan mesti diteruskan sesuai dengan tuntutan Ilahi, bukan asyik berkeluh kesah mendengar ramalan itu dan ini.

Ingatlah pesanan Rasulullah sallallahualaihi wasallam:

“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanamnya dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.”

(Diambil dari satu laman blog)

No comments:

Post a Comment