Thursday, November 11, 2010

Part 1: Novel Jeriji Kasih (Sinopsis)


SINOPSIS

Novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd Rashid mengisahkan tentang perjalanan hidup dan kecekalan anak muda yang bernama Anuariza dalam meniti kehidupan untuk mencapai cita-citanya. Anuariza merupakan anak angkat kepada Solehah dan Tamrin serta mempunyai seorang adik angkat iaitu Azuera. Demi untuk membantu keluargannya Anuariza tidak pernah mempunyai masa seperti remaja lain untuk bermain-main namun dia lebih suka menghabiskan masa dengan mengutip buah kelubi dan melakukan kerja-kerja lain untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka anak beranak.

Syed Mustafa iaitu anak kepada Nek Siah telah meminta Anuariza menjadi guru tuisyen kepada anaknya Syed Fariz yang sejak kematian ibunya semakin berubah sikap dan suka memberontak. Tanggungjawab ini digalas oleh Annuareza setelah berjaya dipujuk oleh nek Siah serta boleh dijadikan pendapatan bagi menampung perbelanjaan sekolah adiknya. Sikap Syed Fariz semakin hari semakin menjadi-jadi keadaan ini bertambah teruk apabila dia mula menubuhkan kumpulan di sekolah dan mengamalkan kegiatan memeras ugut. Campur tangan Syarifah Farisya dalam usaha untuk mengelakkannya daripada melakukan kegiatan tidak bermoral itu telah menyebabkannya berdendam kepada Ruhaiza iaitu rakan sekelasnya. Hal ini telah menimbulkan pertengkaran antara Ruhaiza, Syed Fariz dan Lily Suriani sehingga sampai kepengetahuan guru disiplin. Keadaan ini menjadikan Ruhaiza tertekan namun dapat dipulihkan oleh guru Kaunselor.

Walau bagaimanapun sikap Syed Fariz masih belum berubah malah semakin teruk apabila mereka mula menghidu gam di sebuah pondok durian nenek Lily Suriani di Tanjung. Tingkahlaku Syed Fariz ini mula disuarakan oleh Anuariza kepada Syed Mustafa agar beliau memberi perhatian terhadap anak-anaknya. Namun sebaliknya berlaku apabila Syed Mustafa memutuskan untuk membiarkan sahaja tingkahlaku anaknya itu selagi tidak membunuh dan merosakkan anak gadis orang. Hal ini menyebabkan Anuariza mula menceritakan kisah suka duka mereka dalam menjalani kehidupan setelah kematian ayah angkatnya namun cerita ini sedikit pun tidak memberi kesan dalam hati Syed Mustafa untuk memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anaknya yang telah lama diabaikan kerana kesibukan berkerja.

Tingkahlaku negatif Syed Fariz akhirnya sampai ke pengetahuan Nek Siah apabila dia dipanggil ke sekolah untuk berjumpa dengan cikgu Suhaimi yang merupakan guru displin sekolah dan cikgu Borhan guru kelas Syed Fariz. Kedua-dua guru tersebut memaklumkan kepada Nek Siah bahawa Syed Fariz telah 30 hari tidak menghadirkan diri ke sekolah dalam tempoh tidak sampai tiga bulan persekolahan. Di samping itu, dia juga kerap ponteng kelas dan meninggalkan kelas sesuka hati walaupun pada masa tersebut sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Namun, belum pun masalah ini dapat diselesaikan satu lagi masalah menimpa apabila Syed Fariz ditangkap kerana disyaki merogol Ruhaiza iaitu rakan sekelasnya. Maklumat ini telah menyebabkan Nek Siah bertambah pening namun cuba ditenangkan oleh Solehah. Perkara ini hampir mengugat hubungan baik yang terjalin antara Khusyairi dan keluarga Nek Siah kerana tindakan Syed Fariz ini telah mengundang kemarahan Khusyairi iaitu ayah kepada Ruhaiza.

Perkara ini telah sampai ke pengetahuan Syed Mustafa dan telah berjaya mengikat jamin anaknya. Namun setelah sampai ke rumah Syed Mustafa terus menghamburkan kemarahan terhadap tindakan anaknya itu dengan memukul sehingga menyebabkan dahi Syed Fariz tercedera. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi terkawal setelah Soleha dan Anuariza datang berkunjung ke rumah Nek Siah serta meleraikan pergaduhan tersebut. Di samping itu, Anuariza juga telah berjaya memberi kesedaran kepada Syed Fariz bahawa tindakan yang dilakukanya merupakan cara yang salah bagi mendapatkan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Cerita Anuariza mengenai kehidupan dan penderitaan yang mereka alami telah berjaya memberi kesedaran kepada Syed Fariz. Hubungan baik antara ibu bapa Ruhaiza juga sudah dapat dipulihkan setelah Syed Mustafa menyatakan hasratnya untuk mengambil Ruhaiza sebagai anak angkat malah sanggup bertanggungjawab di atas perbuatan anaknya.

Setelah masalah Syed Fariz berjaya diselesaikan, Syarifah Farisya pula membuat onar apabila bertindak melarikan diri ke Kuala Lumpur disebabkan tidak bersetuju dengan perkahwinan ayahnya dan Soleha iaitu ibu Anuariza. Keadaan ini berlaku kerana Farisya menyimpan perasaan dengan Anuariza malah dalam sebuah buku yang dikembalikannya kepada Anuariza sebelum melarikan diri dia meyelitkan sepucuk surat yang mengkehendaki Anuariza mengikut tindakanya bagi menghalang perkahwinan tersebut. Walau bagaimanapun Syarifah Farisya akhirnya berjaya di temui di rumah Hj. Lokman dan kembali ke pangkuan keluarga. Syarifah Farisya juga telah menerima perkahwinan ayahnya dengan Soleha setelah dinasihati oleh Anuariza. Sementara itu berkat ketabahan dan kesabaran, Anuariza pula telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM dan mendapat tawaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Di samping itu, Syed Mustafa juga telah membantu Anuariza untuk mengusahkan kebunya yang digelar “Taman Fantasi.”



2 comments: