Saturday, April 24, 2010

"Ayah,bagi balik tangan Ita"


Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci.Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya....kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, 'Siapa punya kerja ni?'

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. .Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan 'Tak tahu... !'

'Saya tak tahu Tuan..! '

'Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?' herdik siisteri lagi. bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata 'Ita buat ayahhh.. cantik kan !' katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka, cepat-cepat menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar.Menangis teresak-esak keduanya, dalam bilik.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu.. 'Sapukan minyak gamat tu!' balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. 'Ita demam... ' jawap pembantunya ringkas. 'Bagi minum panadol tu,' balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. 'Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap' kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. 'Tiada pilihan..' katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk. 'Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah' kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.

Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan..

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakanhabis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah.

Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.

'Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama.' katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

'Ita juga sayang Kak Narti..' katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis....

'Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,' katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..


"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram & marah anda...." (,")(",)

Friday, April 23, 2010

Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut di Sabah


tarian Mangunatip ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Melalui nama tarian ini sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identiti suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip” diambil dalam perkataan Bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan ketika menari.

Selain itu, tarian ini juga memerlukan buluh sebagai alat utama kerana tanpa buluh, tarian ini tidak akan berjaya. Batang buluh pula mestilah jenis yang sesuai dan melalui beberapa proses sebelum dijadikan sebagai alat tarian. Buluh tersebut akan ditebang mengikut saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat buluh akan bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya ia dilukis bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.

Seterusnya, ketika tarian ini ditarikan kita dapat melihat gerakan badan, tangan dan kaki penari. Tarian yang lemah-gemalai dan memerlukan kepantasan kaki sangat menguja perasaan penonton. Tarian dimulakan dengan rentak perlahan dan lama-kelamaan, buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari mengikut rentak bunyi buluh tersebut. Pada masa inilah kemuncak Tarian Mangunatip kerana para penari akan melalui buluh dengan cepat dalam tempoh beberapa minit sebelum mengakhiri tarian.

Di samping itu, pakaian yang dipakai oleh para penari menambahkan lagi keistimewaan tarian tradisi masyarakat Murut. Pakaian yang berwarna-warni dan dihias dengan manik-manik yang pelbagai jenis menambahkan lagi keayuan dan kesegakkan penari. Aksesori wanitanya pula begitu unik seperti “salupai” yang dipakai di kepala, pipirot” iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai dan sebagainya. Manakala penari lelaki tidak terkecuali menjadi bahan tarikan penonton melalui pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan “tupi sinulatan” yang dipakai di kepala. Senjata yang digunakan oleh penari lelaki iaitu parang dan perisai melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut dan mengingati pahlawan kaum ini iaitu Antanom yang terkenal dengan keberaniannya menentang penjajah.

Setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.




Peraduan menulis

  • Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP (30 September 2010)
  • Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah Siri 1 (30 Jun 2010) : http://www.sabah.gov.my
  • Peraduan Menulis Sastera Kreatif 2010 (Kategori cerpen) (30 Jun 2010)
  • Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2010 (Kategori cerpen) ( 30 Jun 2010)

Untuk makluman lanjut: http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php

Thursday, March 25, 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel


Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.” Ini adalah Hadis Nabi Muhammad SAW yang sentiasa sahaja diulang-ulang dalam novel berjudul Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel ini. Sepanjang usahanya menakluk negara Konstantinopel yang kemudiannya ditukar nama kepada Istanbul, hadis ini menjadi panduan kepada Sultan Muhammad untuk menjadikan hadis tersebut benar.
Akhinya, negara ini berjaya ditaluk oleh Turki yang dipimpin oleh Sultan Muhammad pada hari Selasa, 29 Mei 1453. pun begitu, untuk mencapai kejayaan gemilang itu bukannya mudah bagi Sultan Muhammad. Sebelumnya, sudah banyak kali tentera Islam yang dipimpin oleh Saidina Ali Bin Abi Talib pada tahun Ke-34 Hijrah. Tetapi tidak Berjaya menawannya.

Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyah pula cuba menaklukinya, namun tidak juga berjaya. Khalifah Harun al-Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammmad) cuba menaklukinya pada tahun ke-825 hijrah, namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Pada awalnya, Sultan Murad berasakan bahawa kebenaran hadis Rasulullah SAW akan berlaku pada zamannya. Tetapi tidak berjaya. Kemudian, Syeikh Bayram berulang kali menyatakan hadis tersebut hingga menyatakan bahawa putera Sultan Murad yang akan menakluk Konstantinopel. Ditakdirkan Allah, Permaisuri Sultan Murad mengandung hinggalah kepada kelahiran Sultan Muhammad, Syeikh Baryam tetap menyatakan anak itu akan menakluk Konstantinopel. Bagi membenarkan hadis Rasulullah, Sultan Murad meminta Sultan Muhammad diajar ilmu peperangan oleh adinda Sultan Murad, Panglima Tharthan.

Menjadi masalah ialah Sultan Muhammad agak degil dan keras hatinya untuk belajar. Cuma Syeikh Kurani yang diberikan hak untuk memukul Sultan Muhammad berjaya memujuk Sultan Muhammad untuk belajar agama. Disebabkan malu dipukul di depan ramai, Sultan Muhmmad mula belajar agama di samping diajar ilmu perang. Sejak itu, Sultan Muhammad semakin bijak dan sentiasa pula diceriyakan tentang sejarah umat Islam yang gagal menakluk Konstantinopel. Suatu keyika Sultan Muhammad telah memagku tugas Sultan daripada ayahandanya dan Berjaya menjaga negaran dengan baik

Setelah Sultan Murad mangkat, Sultan Muhammad dilantik sebagai Sultan pada usia 19 tahun dan baginda sentiasa memerintah berdasarkan ajaran Islam. Baginda sentiasa memastikan tenteranya membuat latihan pada siang hari dan beribadat pada sebelah malam bagi menjadikan kata-kata Rasulullah tercapai dimana kerajaan Konstantinople hanya akan jatuh dengan adanya tentera yang baik. Baginda juga, memastikan orang miskin sentias memuliakan tetamu, begitu juga dengan orang kaya digalakkan membantu mereka yang memerlukan. Peniaga pula tidak boleh menipu dalam perniagaan. Semua ini diketahui apabila baginda bersama arwah bapanya menyamar menjadi orang kebanyakan untuk memperolehi maklumat.

Sultan Muhammad juga sentiasa memberikan keampunan kepada musuhnya yang diberikan pilihan sama ada memeluk Islam ataupun membayar tebusan. Akhirnya, kerana baiknya pemerintahan Sultan Muhammad, ramai musuh yang memeluk Islam dan bersama-sama berjuang menakluk Konstantinopel. Sultan Muhammad menyusun strategi dengan teliti bagi memnangi peperangan tersebut. Baginda telah membina tembok bagi mempertahankan Turki dari ancaman musuh. Baginda juga turut terlibat bersama-sama semasa membina tembok tersebut bagi menaikkan semangat tentera dan rakyatnya. Oleh kerana baginda sendiri turut sama membina, maka rakyat Turki turut bersemangat membantu secara sukarela. Hingga suatu hari yang dinantikan, Sultan Muhammad bersama-sama 250,000 tentera pergi ke Konstantinopel tetapi tidak menggunakan jalan kebiasaan. Baginda mencontohi Rasulullah SAW ketika menaklum Mekah yang tidak menggunakan jalan biasa yang dilalui. Sultan Muhammad memecahkan tenteranya kepada beberapa kumpulan, termasuk tentera laut yang dipimpin oleh Panglima Zaghanus, bekas Ketua Paderi Konstantinopel yang memeluk Islam setelah melihat kebesaran kuasa Allah.

Lama berperang tercetus, namun masih belum ada tanda-tanda Konstantinopel berjaya ditakluk walaupun menggunakan meriam yang dicipta oleh Urban yang pada enggan mendedahkan cara membuat Meriam kepada Raja Konstantinopel walaupun diseksa dan dipenjarakan. Setelah diselamatkan tentera Islam, Urban bersedia memberikan maklumat dan membina banyak meriam untuk tujuan menyerang Konstantinopel.

Di pihak Konstantinopel, mereka percaya wujud tiga perkara menandakan kekalahan Konstantinopel iaitu “Kapal belayar di daratan, patung Maryam pecah berderai dan gereja Aya Sophia disambar petir. Tiga petanda buruk itu sudah berlaku di depan mata kita,” kata ketua paderi Konstantinopel. Semua itu berlaku pada hari Sultan Muhammad mahu meyerang Konstantinopel. Sultan Muhammad dengan petunjuk Allah melalui mimpi berjaya memindahkan 70 kapal perang menggunakan jalan darat sejauh tiga batu menuju pelabuhan Tanduk Emas. Ketika melakukan aktiviti agama, patung Maryam tiba-tiba jatuh dan pecah, seterusnya gereja Aya Sophia disambar petir. Akhirnya, Konstantinopel berjaya ditakluk. Namanya ditukar kepada Istanbul.


Salahudin Penakluk Jerusalem

Novel Sejarah Islam, Salahudin-Penakluk Jerusalem adalah fakta berkenaan pahlawan Islam yang digarap dalam bentuk kreatif. Salahudin merupakan pahlawan Islam yang terbilang kerana berjaya menakluk Jerusalem dan mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib. Novel ini menceritakan secara terperinci strategi peperangan yang digunakan oleh Salahudin dan pasukan tenteranya sehingga berjaya menawan pihak musuh dalam setiap peperangan. Novel Sejarah Islam, Salahudin-Penakluk Jerusalem adalah fakta berkenaan pahlawan Islam yang digarap dalam bentuk kreatif. Salahudin merupakan pahlawan Islam yang terbilang kerana berjaya menakluk Jerusalem dan mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib.

Melalui usaha menakluk kembali Jerusalem, Salahudin dan tentera-tentera Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk dugaan dan peperangan dengan tentera Salib yang kejam. Semangat perjuangan tentera-tentera Islam bertambah berkobar-kobar setelah melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera Salib terhadap masyarakat Islam yang telah berjaya ditawan oleh mereka. Tentera Salib sanggup memperkosa kaum wanita, membunuh kanak-kanak, orang tua malah jemaah Haji yang hendak menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci juga turut menjadi mangsa kekejaman mereka. Walau bagaimanapun, tentera-tentera Islam sentiasa bersabar dan berperang dengan niat jihad kerana Allah S.W.T serta menjadikan perjuangan Rasullullah S.A.W sebagai panduan dalam menghadapi peperangan.

Salahudin juga menasihati tentera-tenteranya agar tidak berperang dengan tujuan membalas dendam. Hal ini amat dielakkan kerana mereka berjuang dengan niat untuk menegakkan keadilan dan merampas kembali hak orang Islam yang telah berjaya ditawan oleh tentera Salib iaitu Jerusalem.

Hasil usaha dan kesungguhan serta niat jihad kerana Allah S.W.T, akhirnya Salahudin Al Ayubi dan tentera-tentera Islam dapat menakluk kembali Jerusalam melalui perjanjian yang ditawarkan oleh tentera Salib kerana mereka merasakan tidak mampu lagi untuk berperang dengan tentera Islam yang kuat walaupun dalam jumlah yang sedikit. Kejayaan ini akhirnya menjadi kenangan yang paling bermakna buat Salahudin, tentera Islan serta seluruh umat Islam kerana kejayaaan menakluk kembali Jerusalam telah menyebabkan laungan azan dapat didengar kembali melalui masjid Al-Aqsa serta masyarkat Islam dari luar boleh mengunjungi masjid tersebut.