Friday, February 19, 2010

Tapai


Setiap kaum mempunyai adat tradisi atau perkara yang menjadi amalan dan kebiasaan. Namun kadangkala adat tersebut menyimpang daripada lunas-lunas sesuatu agama. Amalan minum tapai atau moginum dalam bahasa Dusun sering diamalkan oleh masyarakat kaum Murut, Dusun dan kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak. Jujur saya katakan, saya tidak begitu setuju dengan amalan yang tidak banyak memberikan impak negatif daripada positif. Contohnya amalan meminum tapai. Minuman yang diperbuat daripada kayu ubi ataupun beras ini akan menyebabkan peminum menjadi mabuk dan tidak dapat mengawal diri. Dalam majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin, sambutan pesta kaamatan, tahun baru, krismas dan hari-hari biasa, kita akan melihat fenomena minum tapai. Malah, pergaduhan dan seumpamanya juga akan berlaku disebabkan minum tapai tersebut. Apakah faedah meminum tapai? Lebih banyak keburukan yang dapat dilihat bukan? Namun bukan mudah untuk mengubah perkara yang menjadi kebiasaan bagi mereka yang kaki tapai ni. Namun tidak mustahil jika anda mahu berubah demi kesihatan anda sendiri.

Wednesday, February 17, 2010

Tentang filem ‘2012’

2012

Sejak akhir-akhir ini heboh diperkatakan bahawa berakhirnya kehidupan dunia adalah pada 2012. Visualisasi melalui sebuah filem Hollywood yang diberi nama ‘2012’ kini menjadi perbincangan hangat masyarakat dunia, termasuk di Malaysia. Berita kiamat yang bersumber dari Kalender Maya dianggarkan terjadi pada 21 Desember 2012.

Dasar hujahan kiamat akan datang pada 2012 adalah sekali dalam setiap 25,800 tahun. Matahari sejajar dengan pusat Bima Sakti yang menandakan matahari berada di titik terendah kaki langit. Peristiwa itu akan terjadi pada 21 Desember 2012.

Pendapat tersebut diyakinkan oleh pakar astronomi bahawa penjajaran atau gangguan magnetik boleh menimbulkan pergeseran kutub. Diperkirakan pergeseran kutub-kutub itu berlangsung selama satu juta tahun.

Dalam karya Arguelles berjudul "The Mayan Factor: Path Beyond Technology" (Bear & Company, 1973) diungkapkan bahawa sistem kalender suku Maya mencatatkan, akan terjadi putaran besar (the great cycle) yang dijangka lima ribu dua tahun lebih pada galaksi tata suria, iaitu waktunya dari 3113 Sebelum Masihi (SM) hingga 2012 Masihi.

Kalender hitungan milik suku Maya dimulai pada tahun 3113 SM hingga 2012 Masihi. Kalender ini menandakan putaran 394 tahun sebagai Baktun. Angka tiga belas adalah angka penting dan genting bagi kaum Indian Maya. Suku ini memercayai Baktun ke-13 berakhir sekitar 21 Disember 2012.

Filem 2012 memperlihatkan gambaran datangnya kiamat berbentuk gempa bumi, hujan meteor dan gelombang tsunami yang mencampakkan sebuah kapal induk ke Rumah Putih, kediaman Presiden Amerika Syarikat.

Filem karya Roland Emmerich itu menghadirkan kesan khas (special effect) yang menarik dengan visualisasi lapisan bumi retak, tanah merekah dan bergoncangan di mana-mana. Imbasannya memperlihatkan kesan domino yang tragis iaitu gedung-gedung ranap, jalan-jalan bersimen dan berturap habis hancur, menghentam setiap kenderaan yang bergerak di atasnya. Kejadian itu merupakan efek gempa bumi maksimum berskala 13 Richter.

Selanjutnya terjadi hujan meteor berdiameter 3-6 meter yang jatuh dari awan di langit biru. Hentamannya menimbulkan getaran maha dahsyat sehingga menimbulkan lubang-lubang di tanah.

Kesan susulan daripada hujan meteor itu adalah permukaan laut menaik, menimbulkan gelombang setinggi ribuan meter. Dahsyatnya hujan meteor hingga puncak Himalaya pun tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Sebelumnya, Emmerich menggarap sejumlah filem penuh efek lainnya, seperti Independence Day, The Day After Tomorrow, dan 10,000 BC.

Ramalan ilmiah

Sebelum berjaya diangkat ke layar perak, perbincangan tentang kiamat 2012 di mulakan dengan penerbitan buku-buku yang memiliki kekuatan menyingkap rahsia yang akan terjadi pada tahun tersebut. Buku itu antara lain: "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End", "2012: Mayan Year of Destiny", "Beyond 2012: Catastrophe or Awakening?", "2012: Science or Superstition", "The Mystery of 2012: Prediction, Prophecies and Possibilities", "How To Survive 2012", "Unlocking the Secrets of 2012", dan "Fractal Time: The Secret of 2012 and a New World Age". Daripada sejumlah buku di atas, buku "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End" karya Lawrence E Joseph telah diterjemahkan ke dalam versi Bahasa Indonesia oleh penerbit Gramedia.

Sumber penulisan buku ini oleh penulisnya berasal dari sejumlah hasil seminar, jurnal ilmiah dan sejumlah temuan misi luar angkasa NASA (badan angkasa Amerika Syarikat) dan ESA (badan angkasa Eropah) serta wawancara dengan para pakar fizik dan ilmuwan luar angkasa yang sedang demam 2012.

Berdasarkan buku tersebut, bolehlah dikatakan bahawa penulisannya mengungkapkan akan terjadinya peristiwa alam maha dahsyat pada 2012 yang dapat disebut sebagai Hari Kiamat. Bencana itu disebabkan oleh berbagai-bagai faktor seperti radiasi (cahaya) panas matahari, kesan badai awan dan bintang, perubahan drastik yang terjadi di muka bumi kerana pemanasan global, pergeseran medan magnet bumi, koyaknya perisai magnet bumi dan hentaman antara planet hingga berkecai. Penulis buku tersebut bukan hanya mengetengahkan cerita Hari Kiamat berdasarkan ramalan suku Maya, juga mengajak pembaca berkelana memasuki rahsia bumi, alam semesta, matahari, sistem suria, galaksi, dan luar angkasa.

Buku-buku lain mengkhabarkan peristiwa terputusnya pancaran dari pusat galaksi yang akan merosakkan mekanisme normal sistem suria dan bumi. Kesannya adalah dislokasi dalam skala global berupa bencana kerana terjadinya pergeseran konfigurasi planet walaupun kecil.

Apabila bencana itu datang, diperkirakan tidak semua permukaan bumi akan luluh hancur sehingga menyebabkan kehidupan manusia menjadi musnah. Para ilmuan dan astronomi sedang merancang senario terburuk, termasuk dengan pendekatan ilmu kesihatan darurat. Tugas para ilmuan bukan saja berupaya menyingkap rahsia alam semesta, tetapi juga berupaya meramal dan mencari alternatif jalan keluarnya secara ilmiah.

Kini para ilmuan sedang mencari jawapan mengenai hubungan titik matahari dan ledakan-ledakan matahari dengan fenomena yang terjadi di muka bumi seperti gempa, badai, letusan danau dan pelbagai angin taufan. Pada dekad 1970-an, lebih daripada 10 satelit penelitian matahari diluncurkan sejak Helios I dan II menjelajah angkasa. Majoriti satelit tersebut dikirimkan oleh NASA dan ESA.

Pada tahun 1980, dikirim lagi misi Maksima Matahari bertujuan mengamati aktiviti suria pada puncak jangka titik matahari. Sedangkan pada tahun 1990 diluncurkan satelit Ulysses dengan tujuan khusus pada bahagian tertentu spektrum matahari seperti sinar -X, ultraviolet dan angin suria.

Satelit sebesar kenderaan BMW itu, dengan kelajuan 56,000 kilometer sejam, telah menempuh perjalanan hampir 8.85 juta kilometer atau sepadan dengan tiga kali putaran orbit matahari. Satelit ini mengakhiri tugasnya pada Jun 2009 lalu yang ditaja NASA dan ESA. Lebih daripada 1,000 artikel ilmiah dan dua buku dihasilkan daripada informasi yang diperoleh Ulysses.

Misi Ulysses berjaya mengungkap adanya angin suria dan faktor-faktor penyebabnya, selain mendalami partikel-partikel yang dipancarkan oleh matahari ke seluruh sistem suria. Ternyata aliran kuat partikel-partikel subatom yang memancar dari matahari hingga lebih satu kilometerl sejam berkurang hingga level terendah dalam 50 tahun terakhir.

Data berharga lainnya adalah info mengenai kawasan kutub matahari, debu angkasa di sistem suria, planet Jupiter dan objek transitnya. Info baru yang boleh diketahui manusia adalah soal heliosfer.

Heliosfer adalah selubung pelindung yang dihasilkan matahari melalui anginnya kepada bumi dan tujuh planet lain yang mengitarinya. Angin suria itu berperanan menyapu radiasi dan sinar kosmik yang datang dari galaksi lain.

Secara teori, heliosfer yang semakin lemah akan membuatkan masuknya sinar kosmik ke dalam sistem suria dan akan menjadi semakin besar. Radiasi sinar kosmik yang semakin kuat tentu membahayakan para angkasawan ketika berada di luar angkasa.

Ramalan lain daripada para ilmuan adalah bakal terjadinya badai matahari dahsyat yang belum pernah terjadi dalam sejarah pada 2012 nanti. Seorang ilmuan dari Lembaga Penerbangan dan Angkasawan Nasional (LAPAN) di Indonesia, Bambang S Tedjakusuma mengetengahkan, yang akan muncul pada sekitar 2011-2012 adalah badai matahari.

Ramalan ini berdasarkan pemantauan pusat pemantau cuaca angkasa pada beberapa negara semenjak tahun 1960-an di Indonesia oleh LAPAN sejak tahun 1975.

Badai kecil matahari pernah terjadi pada 4 November 2003 yang mengakibatkan saluran telekomunikasi seluruh dunia mengalami gangguan. Di Amerika Syarikat kala itu muncul sinar kutub yang sangat luas di California, sedangkan di Sweden sekitar 500 ribu penduduknya tidak memperoleh kemudahan aliran elektrik. Isyarat awal badai matahari adalah bintik matahari yang akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Sebagai satu ramalan, peristiwa itu boleh saja terjadi atau sebaliknya boleh tidak terjadi. Tugas para ilmuan adalah menyedarkan masyarakat dan mengingatkan pemerintah agar mempersiapkan langkah yang akan terjadi berbentuk penyiapan sistem kesihatan darurat agar tidak memakan korban jiwa dan kerugian material yang banyak.

Pada umumnya ada tiga langkah dalam sistem kesihatan darurat iaitu alert sign (meningkatkan kepedulian bencana), warning sign (meningkatkan perhatian terhadap tanda bersiap sedia) dan alarm sign (tindakan segera terhadap bahaya bencana).

Walaupun filem ini digarap dalam bentuk fiksyen, ia menyerlahkan keyakinan manusia bahawa alam ini suatu hari nanti pasti akan musnah. Kajian-kajian dan pemerhatian secara saintifik mendorong mereka membuat ramalan bahawa 21 Disember 2012 adalah tarikh hari besar tersebut.

Jadi, apakah sikap kita?

Setakat mempercayai bahawa alam ini akhirnya akan musnah sesungguhnya selari dengan keyakinan kita, umat Islam, yang beriman kepada hari akhirat. Namun, waktu sebenarnya berlaku kiamat itu tetap berada dalam pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui. Tugas kita di dunia hanyalah terus menjadi hamba dan khalifah-Nya, terus mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Maksudnya, kehidupan mesti diteruskan sesuai dengan tuntutan Ilahi, bukan asyik berkeluh kesah mendengar ramalan itu dan ini.

Ingatlah pesanan Rasulullah sallallahualaihi wasallam:

“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanamnya dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.”

(Diambil dari satu laman blog)

Tuesday, February 16, 2010

Restu: berjaya menyentuh hatiku

Perjuangan Ikram yang ditemani deraian airmata dan pengorbanan akhirnya membuahkan kejayaan yang begitu manis. Pengarang berjaya membuai emosi pembaca sehingga tersentuh dan menangis serta tertawa tersenyum dengan mainan watak-watak dalam novel ini terutama watak utamanya Ikram. Syabas buat pengarang!

Novel Tunggu Teduh Dulu

Penceritaan yang penuh penghayatan. Kisah sang perempuan yang gigih dalam mengusahakan sesuatu sehingga berjaya menjadi usahawan yang dihormati. Pergolakan jiwa dalam memilih dua lelaki yang dulunya bersandarkan persahabatan. Menitikberatkan hubungan manusia dengan sang penciptaNya. Bahasa yang penuh falsafah berpaksikan tiang keagamaan. Syabas buat penulis yang berjaya melontarkan idea-idea yang segar dan menyuntik minda.

Sunday, February 7, 2010

Gangguan mental jangan dipandang remeh

Bipolar penyakit gangguan mental

(Utusan Malaysia, 5 september 2006)

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SIBUK dengan tugasan harian sama ada di rumah atau di tempat kerja sering membuatkan manusia mengalami perubahan mood atau perasaan.

Kadang kala mereka akan berasa terlalu gembira dan sebaliknya. Mereka mungkin tertekan dengan tanggungjawab yang dipikul sehingga menyebabkan rasa sedih.

Pengalaman tersebut pernah dilalui oleh Susan, seorang pesakit yang mendapat rawatan daripada Persatuan Psikiatrik Malaysia (PPM), sebelum dia mengetahui bahawa dia menghidap penyakit bipolar.

Tidak sedar dirinya mengalami gangguan mental, Susan menganggap perubahan mood yang dialaminya sebagai perkara yang normal.

“Saya sering menganggap perkara yang saya lakukan adalah betul dan pendapat orang lain adalah salah.

“Pada fikiran saya, perubahan sikap yang silih berganti tidak ada kaitannya dengan penyakit mental kerana saya berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik,” katanya pada majlis pelancaran kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Atas dorongan sahabat baiknya, Susan berjumpa doktor dan menceritakan semua masalahnya.

“Pada mulanya, apabila saya disahkan menghidap penyakit bipolar, saya mendapati tiada siapa atau tempat untuk mengadu masalah dan membantu saya memahami perubahan ragam lampau yang mula mengawal kehidupan saya.

“Saya terpaksa mencari sendiri bahan-bahan atau maklumat tentang gangguan bipolar dan selalunya maklumat diperoleh daripada sumber antarabangsa,” ujarnya.

Sebagai pesakit bipolar, dia berkata, kefahaman yang lebih baik tentang penyakit tersebut telah membantunya menjalani kehidupan lebih sihat dan ceria.

Sementara itu, kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku ini telah dilancarkan oleh PPM sempena Kongres Psikiatrik Sedunia Ke-19 (WCP), yang dianjurkan sempena persidangan mengenai Perubatan Psikologi Malaysia Ke-12 (MCPM).

Kempen tersebut bertujuan mewujudkan tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan orang ramai tentang penyakit mental bipolar yang sering tidak diberi diagnosis tepat.

Gangguan bipolar ialah penyakit mental yang menjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi.

Seseorang yang mengalami gangguan ini mengalami perubahan ragam atau mood daripada perasaan terlalu ghairah (mania) kepada terlalu resah (kemurungan).

“Gangguan bipolar amat membebankan pesakit dan keluarga mereka dan boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan, jangka hayat lebih pendek, pengasingan sosial dan kualiti hidup kurang baik,” kata Presiden PPM, Profesor Dr. Maniam Thambu.

Malah, di negara-negara maju sekalipun, pesakit bipolar sering diberikan diagnosis awal yang salah kerana doktor mereka kurang memahami gejala yang dialami.

Jika tidak dirawat, gangguan bipolar mendatangkan masalah besar kepada pesakit kerana menganggu fungsi kehidupan harian termasuk dalam pekerjaan. Ia juga mengundang pandangan serong masyarakat terhadap seseorang yang mengalami sebarang gangguan mental.

Namun, situasi ini boleh diubah dan berdasarkan laporan Majlis Penasihat Kesihatan Mental Amerika Syarikat, kadar kejayaan rawatan bagi gangguan bipolar agak cemerlang iaitu 80 peratus.

Malah, dengan rawatan yang sewajarnya, pesakit bipolar boleh mendapatkan kembali kira-kira tujuh tahun kehidupannya, menjalankan kegiatan utama dengan berkesan selama sepuluh tahun dan mengekalkan kesihatan normal selama sembilan tahun yang selalunya hilang akibat penyakit tersebut.

Mengulas mengenai situasi tersebut di Malaysia, pengerusi penganjur kempen, Dr. Abdul Kadir Abdul Bakar, berkata, dengan pendedahan dan pendidikan sempurna kadar kejayaan rawatan di negara ini mencapai tahap yang setanding negara asing.

Beliau menjelaskan, tahap kesedaran umum yang lebih tinggi akan mengurangkan tanggapan yang negatif tentang penyakit ini dan menggalakkan pesakit memainkan peranan proaktif untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Dr. Abdul Kadir, rawatan bagi penyakit bipolar secara amnya terdiri daripada beberapa komponen termasuk ubat-ubatan, terapi elektrokonvulsif dan rawatan psikososial.

“Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menangani penyakit anda dan mengekalkan kesejahteraan diri.

“Ini termasuklah memakan ubat, penuhi temu janji dengan doktor anda dan menghadiri sesi rawatan psikososial, serta tidur mengikut jadual yang tetap sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam.

“Selain itu, jangan mengambil alkohol, kafein atau dadah kerana ia mungkin menganggu tindakan ubat, tidur atau mood anda. Anda juga perlu berhenti atau mengurangkan merokok dan perlu bijak mengurangkan tekanan kerja dan tekanan disebabkan konflik interpersonal,” katanya.

Orang ramai seharusnya lebih peka dalam menangani masalah kesihatan mereka termasuk sering membaca informasi berkaitan penyakit tersebut supaya langkah rawatan awal boleh dilakukan.

Usaha PPM untuk memperbaiki strategi pengurusan untuk pesakit bipolar dapat dilihat melalui maklumat dalam laman web rasmi kempen ini di http://www.psychiatry-malaysia.org

Jika penyakit tidak dapat dikawal sepenuhnya, kemungkinan pesakit mengalami kelakuan yang tidak dapat dikawal (contohnya, berbelanja berlebihan, memandu secara berbahaya) dan kelakuan agresif (contohnya, menyerang orang lain dan mencederakan diri sendiri) adalah lebih tinggi.

Jadi, sebelum suatu krisis berlaku, senaraikan tanda-tanda awal bagi membantu orang lain mengenalpasti apabila anda perlukan bantuan.

Selain itu kata Dr. Abdul Kadir, pesakit perlu menyediakan satu pelan krisis bersama keluarga dan doktor mengenai apa yang perlu dilakukan apabila satu krisis berlaku dan apabila sepatutnya anda perlu dihantar ke hospital.

“Pesakit juga perlu mendapatkan bantuan perubatan sebaik sahaja merasa mood atau paras tenaga berubah di samping sentiasa memastikan bahawa persekitaran sentiasa selamat,” katanya.

SIMPTOM-SIMPTOM PENYAKIT BIPOLAR

- Mood terlampau tinggi. Contohnya, terlampau gembira.

- Cuma memerlukan masa tidur yang pendek.

- Cepat marah.

- Lebih aktif daripada biasa.

- Bercakap dengan kuat dan cepat.

- Fikiran yang berserabut.

- Kesukaran memfokus.

- Lemah pertimbangan

- Kemurungan

- Murung dan sedih.

- Rendah harga diri.

- Hilang minat terhadap perkara yang biasanya digemari.

- Tidak dapat tidur.

- Hilang selera makan.

- Sentiasa letih.

- Tidak dapat menumpukan perhatian.

- Lemah pertimbangan.

- Berfikir tentang bunuh diri atau kematian.

Penyakit mental perlu dapat rawatan segera

(Berita Harian, 2 ogos 2007)


Bantuan awal mengurangkan masalah daripada menjadi lebih serius


TEKANAN kerja, masalah peribadi atau campur tangan keluarga dalam hal tertentu boleh memberi gangguan emosi kepada individu. Masalah kewangan berpanjangan atau kegagalan memenuhi keperluan hidup juga boleh menyumbang kepada persekitaran yang menyebabkan penyakit mental.

Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira satu daripada setiap 10 orang mengalami gangguan emosi atau mental. Bagaimanapun, takrif gangguan emosi didapati sangat longgar kerana panas baran, resah, gelisah, mudah bersedih, kecewa, terlalu bimbang, takut dan murung boleh dikategorikan sebagai gangguan emosi dan penyakit mental.

Tanda gangguan emosi dan penyakit mental boleh dikesan pada peringkat awal, antaranya perubahan tingkah laku yang sangat ketara, mudah marah, tiada selera makan, sukar untuk tidur, cepat kecewa dan mempunyai perasaan rendah diri yang mendalam.

Jika gejala itu berpanjangan dan gagal dikendalikan dalam tempoh dua minggu, individu berkenaan patut mendapatkan rawatan atau ahli keluarga dan rakan membantu individu itu mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

Gangguan emosi dan penyakit mental yang dibiarkan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan menjadi lebih serius dan mengakibatkan skizofrenia.

Pengarah Hospital Bahagian Hulu Kinta, Perak, Datuk Dr Suarn Singh, berkata skizofrenia berlaku akibat perubahan kimia dan biologi dalam otak.

Beliau yang juga Pakar Perunding Kanan Psikiatri (Forensik) berkata, pesakit skizofrenia biasanya mengatakan mereka mendengar bunyi tertentu atau merasa ada sesuatu yang ingin mencederakan mereka.

"Pesakit skizofrenia perlu dirawat secara intensif oleh pakar dengan dua kaedah rawatan, iaitu secara biokimia menerusi pengambilan ubat dan rawatan secara psikologi. Rawatan psikologi membabitkan kaunseling untuk pesakit dan juga keluarga," katanya pada majlis penyampaian sijil tamat kursus pendidikan keluarga untuk 42 peserta oleh Tindakan Isu Kesihatan Mental Kinta (KAMI) di Hospital Bahagia Hulu Kinta, Perak baru-baru ini.

Individu yang mengalami gangguan emosi dan mental biasanya adalah orang yang tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membiarkan masalah berkenaan membelenggu mereka hingga masalah itu menjadi lebih parah.

Masalah yang semakin sukar diselesaikan mengakibatkan krisis dan seterusnya gagal dikendalikan oleh individu berkenaan.

Dr Suarn berkata, gangguan emosi dan mental juga kerap berlaku ke atas individu yang mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah.

"Jika tidak mempunyai sokongan daripada keluarga atau majikan, gangguan ini menjadi lebih parah. Masalah mental yang serius dan skizofrenia boleh membawa kepada pesakit membunuh diri,” katanya.

Dr Suarn berkata, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kejadian membunuh diri di negara ini tiada kaitan dengan agama, kaum atau latar belakang keluarga.

"Pesakit mental yang membunuh diri biasanya disebabkan masalah peribadi atau gangguan dalam diri dan tidak berkaitan dengan pegangan agama atau tradisi budaya. Justeru, membunuh diri berlaku pada semua kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Datin Dr Ranjit Kaur Praim Singh, berkata penyakit mental bukan akibat kesilapan yang dilakukan oleh pesakit berkenaan atau keluarga mereka, tetapi disebabkan pelbagai faktor persekitaran.

Jika anda dapat mengesan tanda gangguan emosi dengan cepat, anda boleh membantu rakan sekerja, jiran atau ahli keluarga mendapatkan rawatan. Rawatan pada peringkat awal gangguan didapati dapat memberi kesan yang lebih baik.

Rawatan penyakit mental yang ada sekarang sangat efektif dan berkesan berbanding 20 tahun lalu. Kaedah lama rawatan penyakit mental tidak memberi kepentingan kepada peranan keluarga dalam merawat pesakit.

Pesakit biasanya ditempatkan di institusi dan diberi ubat serta rawatan yang difikirkan perlu oleh pakar psikiatri. "Tetapi, kini cara rawatan baru menyedari peranan keluarga sebagai penjaga dalam memulihkan pesakit. Keluarga pesakit adalah sumber amat penting untuk memudahkan rawatan psikososial bagi penjagaan menyeluruh untuk pesakit. "Kementerian Kesihatan menggalakkan pembabitan masyarakat, keluarga dan individu dalam menangani isu berkaitan penjagaan kesihatan," katanya.

Bagi membabitkan masyarakat dalam rawatan penyakit mental, Kementerian Kesihatan mewujudkan program kesihatan mental dalam komuniti, iaitu pesakit yang stabil boleh mendapatkan ubat dari klinik kesihatan berhampiran. Di Perak, Dr Ranjit berkata, program pemulihan dalam komuniti dalam bentuk psikososial dilakukan menerusi empat klinik kesihatan, iaitu di Simee, Bagan Datoh, Selama dan Tanjung Malim. Program seumpama itu dan sokongan keluarga akan membantu pesakit mental menguruskan kehidupan mereka dengan lebih sempurna.

FAKTA:
Tanda gangguan emosi/mental

  • Perubahan tingkah laku yang ketara.
  • Cepat marah
  • Hilang selera makan
  • Susah tidur
  • Mudah kecewa
  • Rendah diri
  • 4 anggota keluarga bekas imam mati dibunuh


    Anggota polis mengusung keluar salah satu mayat mangsa bunuh di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam.

    TAMPIN - Empat anggota keluarga bekas imam ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas mereka dibunuh kejam disyaki oleh cucu sendiri di dalam dua buah rumah di Kampung Batang Rokan di Gemencheh di sini semalam.

    Mayat bekas imam di kampung tersebut, Atan Daud, 90, di jumpai dalam keadaan putus tangan kiri. Dia ditemui bersebelahan mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80, yang putus tangan kanannya.


    Salah seorang ahli keluarga empat mangsa bunuh membantu polis menjalankan siasatan.

    Mayat menantu kepada pasangan itu, Ismail Awang, 76, itu pula ditemui tidak jauh dari mayat pasangan warga emas tersebut. Seorang lagi yang dibunuh ialah anak Ismail, Siti Khatijah, 22. Mayat Khatijah ditemui dengan pisau masih terpacak di dada di hadapan rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kediaman datuk dan neneknya.

    'Dia seperti dirasuk'
    (metro-4/2/20010)

    KUALA TERENGGANU: “Saya terkejut melihat wajah anak berubah menjadi bengis manakala matanya tajam merenung suami selepas menikam dada abang sulungnya dengan sebilah pisau.

    “Suami cuba menenangkannya dan berusaha merampas pisau itu, tapi perutnya turut dirodok menyebabkan dia rebah dan meninggal dunia beberapa minit kemudian,’’ kata Zainun Hassan, 50, isteri Che Mat Nik, 51, yang maut ditikam anak sendiri di rumahnya di Lorong Wan Su, Kampung Pulau Duyong di sini, awal pagi semalam. Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu berlaku selepas anak ketiganya, Sharul Azmi Che Mat, 20, yang tidur di ruang tamu bersama adik bongsunya, bangun secara tiba-tiba dan menaiki tangga menuju bilik abang sulungnya sambil membawa sebilah pisau yang diambil dari tiang rumah.

    Zainun berkata, anak sulungnya, Irwan Affendi Che Mat, 30, yang tidur bersebelahan biliknya menjerit kesakitan sambil memberitahu perutnya berlumuran darah akibat dirodok pisau dipegang adiknya. Menurutnya, suaminya cuba merampas senjata dipegang Sharul Azmi, namun suspek menikamnya menyebabkan dia rebah dan tidak sedarkan diri. Katanya, walaupun anaknya masih bersenjata, dia memberanikan diri cuba merampas pisau dari tangannya.

    “Saya lihat anak seperti dirasuk kerana ketika menyerang suami serta abang sulungnya, dia seperti tak sedarkan diri dan saya yakin bukan dia melakukannya, tetapi ada ‘sesuatu’ mendorongnya bertindak demikian. “Mujur dia mula tenang dan kemudian menangis teresak-esak seperti tak percaya melihat ayahnya tak bernyawa terbaring di lantai, manakala abang sulungnya pula cedera parah, “ katanya ketika ditemui di rumah ibu mentua berhampiran rumahnya. Berikutan kejadian itu, Zainun berkata, dia mendapat pertolongan jiran yang kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota polis tiba di rumahnya beberapa minit kemudian.

    Menurutnya, Sharul Azmi mendakwa terdengar ‘bisikan’ wanita bernama ‘Siti Aisyah’ ketika nyenyak tidur dan menuruti segala arahan yang dibisikkan itu. “Dia mendakwa suara itulah menyebabkan dia hilang kawalan dan menyerang abang serta ayahnya. Dia sendiri terkejut ketika sedar sebaik disergah saya,’’ katanya yang turut menziarahi anak sulungnya yang kini koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Zainun berkata, walau apa pun berlaku selepas ini suspek tetap anak kandungnya dan percaya perbuatannya itu dilakukan di luar sedar.

    Saturday, February 6, 2010

    Andai dapatku undurkan waktu

    Bisikan kerinduan menyapa membuai kalbu
    satu persatu memori bersamamu
    mengusik jiwa
    dan manik-manik jernih
    setia menemani
    melagukan sedu sedan
    dan potretmu menjadi tatapan
    mengimbau detik-detik manis
    zaman kanak-kanak dan remaja
    yang sempat dikongsi bersamamu...

    Andai dapatku undurkan waktu
    aku ingin terus menjadi sang puteri
    dibelai dan dimanja
    dilimpahi kasih sayang
    oleh orang-orang yang kusayangi...

    Namun
    aku hanya mampu berangan-angan
    melakar impian sang perindu
    aku bukan lagi sang puteri yang manja
    waktu yang berlalu
    telah mendewasakan
    telah mematangkan
    telah mengubah segala-galanya....

    Tiada lagi sang puteri yang manja
    tiada lagi sang puteri yang ceria
    tiada lagi sang puteri yang keanak-anakan
    tiada lagi tawa riang seperti dulu
    semuanya hambar dan kosong...

    Diam mu
    menjadi tanda kemarahan
    kata-kata nasihatmu memberi makna yang mendalam
    dengan hanya kata-kata
    anak-anakmu diam terpaku mentafsir
    dan keinsafan merajai diri
    dan kesalahan itu tidak akan berulang...

    Masih lagi terbayang ayunan langkahmu
    wajah tenang penuh keyakinan dan semangat kental
    seluar hitam berkemeja biru bertali leher biru
    memegang buku dengan sebatang rotan
    yang menjadi perhiasan
    hanya untuk menakut-nakutkan
    mendidik anak-anak watan
    mencelikkan yang terpejam
    menyuluh ruang yang malap
    meniupkan semangat kepada mereka
    yang masih terkapai-kapai
    menjadi sandaran tatkala kesulitan...

    Begitulah saban hari dilalui
    tanpa jemu tanpa keluhan
    menatap wajah-wajah yang tidak jemu ditatap
    silih berganti wajah-wajah baru mengharap ilmu
    melayan karenah pelbagai ragam
    namun engkau tetap setia
    mencurahkan bakti dengan harapan menggunung
    wajah-wajah yang saban hari ditatap
    menjadi insan yang berguna...

    Perjuanganmu tidak sia-sia
    kerana anak didikmu
    ramai yang berjaya dalam arena masing-masing
    dan puterimu
    tidak lama lagi akan menjadi sepertimu
    menjadi pendidik meneruskan perjuangan...

    Andainya ku mampu undurkan waktu
    ku ingin engkau melihat sang puterimu
    memegang segulung ijazah
    dan membalas segala pengorbananmu...

    Wednesday, February 3, 2010

    SENARAI TEKS BAHARU MATA PELAJARAN KESUSASTERAAN MELAYU TINGKATAN 4 & 5 2010

    Novel:

    • Jeriji Kasih (Ramlah Abd. Rashid)

    • Dari Lembah Ke Puncak (Ghazali Lateh)


    ANTOLOGI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN KBSM

    (ANAK GLOBAL)


    Cerpen:

    • Gelungnya Terpokah (Shahnon Ahmad SN)

    • Anak-anak Pejuang (Ghazali Lateh)

    • Anak Gembala (Zahari Affandi)

    • Anak-anak Suria (Zaharah Nawawi)

    • Bah Urei (Baharuddin Kahar)

    • Melakar Impian (Mohd. Kassim Mahmud)

    • Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd. Zaki)

    • Aksi Sang Jerut (Zaid Hj. Mohd. Saman)


    Sajak:

    • Pasar Pengalaman (T. Alias Taib)

    • Sesekali Dalam Sajak (Nawawee Mohammad)

    • Nasi Ayam Lauk Sepinggan (J. M. Aziz)

    • Anak Global (Muhammad Hj. Salleh SN)

    • Ruang Terbuka Masih Terbuka (Khadijah Hj. Hashim)

    • Di Dada Mereka Ada Khalid (Shahrulnizam Abdul Talib)

    • Ayah (Baha Zain)

    • Al Andalus Menangis (Fahd Radzy)

    • Mahkota (Saiffulizan Yahaya)

    • Kembali Gawai Rindu Terlerai (Abizai)

    • Pengelana Waktu (Ruzaini Yahya)

    • Memancung Insani (Ihsan Norzali)

    • Duka Tanah (Chu E Liang)

    • Sesekali Pesakitku (Aminah Mokhtar)

    • Warkah luka dari Ramaliah (Husna Nazri)

    • Waktu itu: Antara Ramadhan dan Syawal (Shamsuddin Othman)

    • Asin Musim Genting (Jamaluddin D.)

    • Merdekala Bahasaku (Siti Zaleha M. Hashim)

    • Sebuah Pesanan (Ghazali Lateh)

    • Di atas Peterana Bangsa (Nadzim Mohd. Subari)

    • Negeriku Merdeka (Marjan S.)

    • Lelah Tapi Indah (A. Ghani Abdullah)

    • Kita Berdua Adalah Gambar (Suhaimi Haji Muhammad)


    Drama:

    • Muzikal Kampung Baru (Hatta Azad Khan)

    • Dongeng Sang Puteri (Wan Ahmad Ismail)

    • Menggapai Pelangi (Taha Abdul Kadir)


    ANTOLOTI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN KBSM

    (MADU ILMU)


    Cerpen:

    • Seekor Manusia Seorang Binatang (Muhammad Isa al-Jambuli)

    • Warna Hati Seorang Datin (Rahman Hj. Yusof)

    • Benar Kata Ayah (Ria Asmara)

    • Gersang (Masniyah Kalyubi)

    • Tagung (Witer Gurik)

    • Sidang Para Dukun dan Sindron (Hasan Ali)

    • Rindu Tanah Malaya (Che Hashim Latiff)

    • Di Bawah Langit Takut-takut (Amalia Fauza Bohari)

    • Bagai Hembusan Bayu Senja (Juri Durabi)


    Sajak:

    • Penggilap Rezeki (Mohd. Hashim Othman)

    • Bunga Damai (Ria Asmira)

    • Hari Tuanya Singgah (Awang Abdullah)

    • Narator Dari Desir Angin (Marjan S)

    • Rumahku (Dayang Zuraidah Awang Fauzi)

    • Keberangkatan Ayah (Ratna Laila Shahidin)

    • Aduhai Bapa (Hashim Yaacob)

    • Nyanyi sunyi Di Desa Sepi (Firdaus Abdullah)

    • Akar (Hilmi Rindu)

    • Kalau Kita Menjadi Kayu (Abdul Rahim Idris)

    • Daun-daun Kering Di Halaman Rumah (Naapie Mat)

    • Sketsa Pengemis Kecil Pada Landskap Kota Raya (Chulan Chin)

    • Madu Ilmu (Shafie Abu Bakar)

    • Kebaikan Yang Ranap (Arbak Othman)

    • Sebatang Pena (A. Aziz Deraman)

    • Pulang (Adi Badiozaman Tuah)

    • Di Mana Tangkai Nyawamu (Daeng Ramli Akil)

    • Nafiri (Ahmad Kamal Abdullah)

    • Sketsa Kerinduan (Shukri Abdullah)

    • Musim Itu (Dijeh ak.Mancha)


    Drama:

    • Bendahara Tepok (Shaharom Husain)

    • Lima Perwira (Kala Dewata)


    ANTOLOGI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL KBSM

    (SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN)


    Puisi Tradisional

    • Pantun Empat Kerat (Adat dan Etika)

    • Pantun Empat Kerat (Nasihat)

    • Pantun Empat Kerat (Budi)

    • Pantun Empat Kerat (Cindai)

    • Pantun Empat Kerat (Dagang)

    • Pantun Enam Kerat

    • Pantun Lapan Kerat (Keagamaan)

    • Pantun Lapan Kerat (Perpisahan)

    • Pantun Berkait

    • Syair Si Burung Nuri 1

    • Syair Si Burung Nuri 2

    • Syair Si Burung Nuri 3

    • Syair Si Burung Nuri 4

    • Syair Pentingnya Menjaga Hubungan Keluarga dan Perpisahan

    • Gurindam 12 Fasal 9

    • Gurindam 12 Fasal 11

    • Gurindam Seuntai Kasih Secebis Harapan

    • Seloka Mat Jenin

    • Seloka Sifat Pandir

    • Seloka Pak Kaduk


    Prosa Tradisional:

    • Hikayat Indera Nata

    • Hikayat Cendawan Putih

    • Hikayat Putera Jaya Pati

    • Hikayat Seri Kelantan

    • Hikayat Nahkoda Muda

    • Hikayat Caya Langkara

    Novel Baru mengikut Zon 2010

    Mulai tahun 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks antologi baharu yang terdiri daripada antologi Harga Remaja untuk Tingkatan 4 dan Kasut Kelopak Jantung untuk Tingkatan 1. Kedua-dua antologi tersebut akan menggantikan teks antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan selama 10 tahun. Selain itu, mereka juga akan mengkaji novel-novel baharu mengikut zon masing-masing yang telah ditetapkan seperti berikut:

    ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, DAN PERAK


    Novel Tingkatan 1 - Hikmah, karya Mohd. Faris Ikmal terbitan V. Nice Resources Sdn. Bhd.Novel Tingkatan 4 - Asfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


    ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA


    Novel Tingkatan 1 - Sukar Membawa Tuah, karya M.Z. Erlysha, terbitan Rindu Senja Sdn. Bhd.Novel Tingkatan 4 - Papa...(Akhirnya Kau Tewas Jua), karya Deana Yusof, terbitan Pekan Buku Publications Sdn. Bhd.

    ZON 3: NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN


    Novel Tingkatan 1 - Bukan Duniaku, karya Aida Shahira, terbitan Karya Hartamas Enterprise.
    Novel Tingkatan 4 - Renyah, karya Gunawan Mahmood, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


    ZON 4: NEGERI JOHOR , SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.


    Novel Tingkatan 1 - Istana Menanti, karya Abd. Latip Talib, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.Novel Tingkatan 4 - Melunas Rindu, karya Hartini Hamzah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.