Suara azan sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya. Laungan azan Subuh yang merdu mendayu-dayu menyentuh hati nalurinya. Azam bingkas bangun dari tidur dan duduk berteleku menghayati bait-bait kalimat azan.
“Mama dengan papa mesti masih tidur. Alangkah bahagianya jika mama dan papa sama-sama solat subuh berjemaah dengan Azam.” Getus hati Azam yang sayu melihat kehidupan ibu dan bapanya yang saban hari dikelilingi oleh tembok kesibukan. Dia sedih melihat keluarganya tidak seperti keluarga kawan-kawannya yang lain.
Azam yang masih berumur 9 tahun begitu matang pemikirannya. Mungkin kerana dia terbiasa hidup berdikari dan ditinggalkan oleh ibu bapa yang begitu sibuk dengan kerjaya masing-masing. Tinggallah dia di rumah yang tersergam mewah di kaki bukit dengan pembantu rumah Mak Siah dan tukang kebun Pak Din iaitu suami Mak Siah.
Perlahan-lahan Azam bangun mengambil wuduk di bilik air yang terletak di biliknya. Kedengaran bunyi bising di dapur.
“Mungkin Mak Siah dah sibuk menyediakan sarapan.” Fikir Azam. Dia kemudiannya khusyuk menunaikan solat subuh. Setiap kali berdoa, dia tidak lupa mendoakan ibu bapanya supaya kembali ke jalan Allah. Usai solat, Azam bergegas mandi dan bersiap-siap memakai pakaian sekolah. Setelah puas hati dengan kekemasan dirinya, dia turun ke tingkat bawah menuju ke dapur untuk bersarapan.
“Assalamualaikum Mak Siah.” Azam menyapa pembantu rumah yang setia berkhidmat di rumah itu semenjak dia masih bayi lagi. Mak Siah lah yang selalu menjaga makan pakainya dan dia sudah menganggap Mak Siah seperti saudaranya.
“Waalaikumussalam. Awalnya Azam hari nie.” Balas Mak Siah sambil tersenyum memandang Azam yang sudah duduk di meja makan. Azam sudah dianggapnya seperti anak sendiri kerana dua orang anaknya sudah dewasa dan berkeluarga. Kadang-kadang terdetik rasa sedih dengan nasib Azam yang kesunyian ekoran kesibukan ibu bapanya.
“Masak apa hari nie Mak Siah? Sedapnya bau...” Suara Azam mematikan lamunan Mak Siah.
“Nie ha nasi lemak makanan kegemaran Azam.” Sahut Mak Siah tersenyum sambil menyuakan sepinggan nasi lemak kepada Azam.
“Terima kasih Mak Siah. Sayang Mak Siah.” Kata Azam sambil ketawa. Dia terus makan nasi lemak itu dengan berselera. Mak Siah hanya ketawa dan menggeleng-gelengkan kepala melihat aksi anak tunggal Dr. Amirul Fawaz dengan Dr. Maisarah.
“Morning Azam.” Serentak suara Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah menyapa Azam yang leka makan nasi lemaknya itu.
“Morning papa, mama.” Jawab Azam dengan mulut yang penuh dengan nasi.
Dr. Amirul Fawaz mencium dahi Azam diikuti oleh Dr. Maisarah.
“Maafkan mama dan papa ya. Semalam kami sibuk sangat dekat hospital.” Dr. Maisarah memulakan perbualan dengan anak kesayangan mereka Azam.
“Tak apa mama, papa. Azam faham.” Jawab Azam perlahan sambil memandang Dr Maisarah dan Dr. Amirul Fawaz.
“Kalau ada masalah jangan simpan je. Bagitau papa dengan mama ya...” Sampuk Dr. Amirul Fawaz sambil menghirup air. Dr. Maisarah mengiyakan kata-kata suaminya sambil mengunyah kuih karipap dan meneguk air. Selesai bersarapan pasangan suami isteri itu bergegas bertolak ke hospital. Sebelum pergi mereka mencium dahi dan memberi duit saku kepada Azam yang hanya memerhati. Selepas itu, Pak Din menghantar Azam ke sekolah. Begitulah rutin harian Azam setiap pagi pada hari persekolahan. Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, dia lebih suka memerap di rumah membaca buku pelajaran ataupun bermain game dan melayari internet. Pada waktu petang Azam akan pergi bermain bola dengan kawan-kawannya di padang yang berhampiran dengan kawasan perumahan. Ketika bersama-sama dengan kawan-kawannya, Azam lupa segala kesunyiannya.
Suatu petang, Azam berjalan seorang diri di sebuah taman rekreasi sekitar kampung tersebut. Di situlah Azam akan berjumpa dengan Lebai Nasir yang merupakan imam masjid di kawasan perumahan itu. Azam akan mendengar nasihat Lebai Nasir yang begitu bermakna. Lebai itu juga selalu membawanya bersama pergi ke masjid dan mengajarnya mengaji Al-Quran. Pertemuan Azam dengan Lebai Nasir tidak dirancang. Azam masih ingat lagi ketika dia begitu kebosanan di rumah dan tiada mood bermain bola, dia keluar bersiar-siar di taman rekreasi. Di situlah Lebai Nasir menegurnya dan dengan mudah dia menceritakan masalahnya dengan Lebai Nasir yang telah menganggapnya seperti cucu itu. Bermula dari situlah Azam mula belajar mengaji. Azam pernah diajar oleh Mak Siah dan Pak Din namun kadangkala kedua-dua suami isteri itu balik kampung semasa cuti sekolah menyebabkan Azam tidak dapat belajar mengaji.
Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah perasan dengan perubahan Azam yang rajin mengaji di masjid dan Azam telah menceritakan pertemuannya dengan Lebai Nasir. Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah terdiam malu namun tidak dapat berkata apa-apa dan memberi kebenaran kepada Azam untuk keluar mengaji Al-Quran. Azam tahu ibu bapanya malu dengannya kerana tidak mengajarnya mengaji Al-Quran dan Azam berharap ibu bapanya akan berubah suatu hari nanti. Lebai Nasir juga selalu memberinya kata-kata nasihat dan dorongan supaya tidak terpengaruh dengan kawan-kawan yang suka melepak tanpa melakukan perkara yang tidak berfaedah malah selalu ponteng kelas mengaji Al-Quran. Azam berjanji tidak akan mengecewakan Lebai Nasir yang menjadi tempatnya mengadu dan menumpang kasih seorang datuk. Azam juga pernah singgah di rumah Lebai Nasir yang hanya tinggal berdua dengan Nek Jah. Azam dilayan dengan baik dan penuh kasih sayang oleh suami isteri itu.
Pada waktu petang iaitu setiap jam 2 petang, Azam akan berbasikal menuju ke masjid untuk mengaji Al-Quran. Di sebuah selekoh, tiba-tiba kereta waja berwarna merah meluncur laju lalu melanggarnya dari arah bertentangan. Azam tidak dapat mengelak dengan pantas kerana tergamam dengan kelajuan si pemandu yang tidak mempedulikan pengguna jalan raya yang lain. Azam merasakan badannya melambung tinggi dan lama-kelamaan pandangan gelap. Kereta waja berwarna merah itu terus memecut laju tanpa melihat keadaan Azam yang terlantar tidak sedarkan diri. Nasib baik Wak Karto yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah ladang kelapa sawit kepunyaan Haji Salleh melalui jalan tersebut. Wak Karto terus mengangkat Azam yang berlumuran darah dan tidak sedarkan diri ke dalam lori. Lori yang dipandu oleh Wak Karto meluncur laju menuju ke hospital.
Apabila tiba di hospital, Azam dibawa ke wad kecemasan. Wak Karto menceritakan segalanya kepada doktor yang bertugas. Selesai urusan di di hospital, Wak Karto menuju ke bilik Dr. Amirul Fawaz yang bertugas di hospital tersebut. Dr. Fawaz amat terkejut dengan kejadian itu. Selepas mengucapkan ucapan terima kasih kepada Wak Karto, Dr. Amirul Fawaz menelefon Dr. Maisarah yang bertugas di bahagian wad perempuan mengandung dan bergegas ke wad kecemasan. Kelihatan Dr. Amirul Fawaz bercakap-cakap dengan salah seorang doktor yang sedang merawat Azam. Selepas itu, Dr. Fawaz keluar dari bilik itu dan duduk di ruang menunggu dengan wajah yang muram. kekesalan mula mengamit perasaannya. Anak tunggalnya itu selalu dibiarkan keseorangan di rumah dan dia sedar sejak akhir-akhir ini. dia dan isterinya jarang meluangkan masa bersama-sama dengan Azam. Perlahan-lahan setitik airmata jatuh membasahi pipinya. Dr. Maisarah muncul dengan tergesa-gesa dengan air mata berlinangan memeluk Dr. Amirul Fawaz. Dr. Amirul Fawaz mendakap mesra isterinya dan menyuruh Dr. Maisarah bersabar dan bertenang.
“Bang, apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana keadaan Azam?” Pertanyaan bertalu-talu disertai dengan esakan itu dibiarkan tanpa jawapan. Sedetik berlalu barulah Dr. Amirul Fawaz menjawab.
“Wak Karto terjumpa Azam tidak sedarkan diri dekat dengan selekoh menuju ke masjid tue. Wak Karto cakap, Azam kena langgar dan orang yang melanggar tue melarikan diri.” Dr. Amirul Fawaz menjawab dengan perlahan.
“Azam..Azam.. macam mana bang?” Dr. Maisarah bertanya dengan bimbang.
“ Abang dah tanya doktor yang rawat Azam. Azam dalam keadaan baik Cuma dia banyak kehilangan darah dan masih tidak sedarkan diri.” Dr. Amirul Fawaz mengesat air matanya dan cuba bertenang.
“Bang...kita bersalah dengan Azam. Selama nie kita jarang bersama dengan dia. Kita tidak menjalankan tanggunjawab kita sebagai ibu bapa baik kepada anak kita bang.... ”
“Abang sedar Sarah...Kita bertungkus-lumus menjalankan tanggunjawab kepada pesakit. Tapi kita lupa, kita abaikan Azam.”
“ Kita pentingkan diri sendiri bang..Sarah malu dengan Azam, malu dengan Lebai Nasir, malu dengan kawan-kawan kita.”
“Abang pun macam tue Sarah. Selepas nie kita kena luangkan masa dengan Azam. Kita dah lama abaikan dia.”
“Abang...Sarah rasa...Sarah nak berhenti kerja.”
“ Itulah yang sebaiknya Sarah...”
Perbualan Dr Amirul Fawaz dan isterinya terhenti apabila doktor yang merawat Azam menuju ke arah mereka.
“Macam mana keadaan Azam doktor?” Dr. Maisarah terus bertanya.
“Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah...Al-Hamdullilah. Azam dalam keadaan stabil. Dia selamat. Tapi tangannya belum betul-betul sembuh.” Dr. Hakim memulakan penerangan yang melegakan hati Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah.
“Tangan Azam patah?” Soal Dr. Maisarah bimbang.
“ Tangannya Cuma terseliuh. Mungkin seminggu lagi akan sembuh.” Jawab Dr. Hakim.
“ Terima kasih...” Ucap Dr. Amirul Fawaz sambil menjabat tangan Dr. Hakim sambil tersenyum lega.
Selepas itu, Dr. Hakim meninggalkan kedua-dua suami isteri itu untuk memberi peluang kepada mereka untuk melawat anak tunggal mereka itu. Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah tanpa melengahkan waktu terus melangkah masuk menuju ke bilik Azam. Sebaik sahaja mereka masuk, Azam kelihatan terlantar di katil dengan tangan kiri berbalut. Terdapat kesan calar di muka, tangan dan kaki. Dr. Maisarah terus memeluk Azam dan mencium dahi dan pipi Azam dengan rasa sedih. Dr. Amirul Fawaz juga menghampiri Azam dan mencium dahi anak tunggal kesayangan mereka itu. Kesibukan mereka menjadi jarak pemisah untuk lebih dekat dengan Azam.
“Sarah serius ke nak berhenti kerja?” Dr. Amirul Fawaz menyambung kembali perbincangan mereka yang terputus tadi.
“ Ya, bang. Sarah dah fikir masak-masak. Mungkin sepatutnya dari dulu lagi Sarah ambil keputusan ini.” Balas Fr. Maisarah dengan tenang.
“ Kalau itu yang Sarah nak, abang tumpang gembira. Sekurang-kurangnya dengan keputusan Sarah nie kita dapat tebuskan semula kesilapan kita. Lagipun gaji abang dah lebih dari cukup untuk menampung keluarga kita.” Dr. Fawaz memeluk isterinya dengan penuh kasih sayang. Dr. Amirul Fawaz gembira dengan keputusan isterinya yang rela melepaskan pekerjaan yang diminatinya demi keluarga tercinta. Amirul Fawaz sememangnya tidak memaksa isterinya sama ada mahu bekerja atau tidak.
“ Mama...papa...” Suara Azam yang lemah mengejutkan Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah lantas pelukan direnggangkan lalu mendekati Azam yang memandang perlakuan ibu bapanya itu sambil tersenyum.
“ Azam nak minum? Nak makan? Macam mana boleh jadi begini?” Tanya Dr. Maisarah sambil menyuakan segelas air kepada Azam.
“ Biarlah budak tue rehat dulu...” Sampuk Dr. Amirul Fawaz.
“ Mama...nak air.” Balas Azam lemah.
Dr. Maisarah terus menuangkan air dan memberikan kepada Azam. Azam terus meneguk air itu. Setelah dapat melegakan tekak yang kering, barulah Azam menceritakan kisah yang berlaku sehingga dia tidak sedarkan diri.
“ Azam dapat cam ke pemandu tue?” Soal Dr. Amirul Fawaz yang geram dengan pemandu yang tidak bertanggunjawab itu.
“ Azam tak cam papa. Pemandu tue seorang lelaki guna cermin mata hitam. Kejadian itu berlaku dengan pantas. Azam hanya ingat Azam dilanggar dan Azam rasa badan Azam melambung. Lepas tue Azam tidak sedar apa yang berlaku.” Azam satu persatu mengingat kembali kejadian yang ngeri itu.
“ Syukurlah Azam selamat. Wak Karto yang bawa Azam pergi hospital. Kebetulan dia lalu masa kejadian tue. Dia nampak Azam terbaring tidak sedarkan diri. Wak Karto lah yang memberitahu papa semua nie.” Dr. Amirul Fawaz menceritakan bagaimana Azam boleh samapi di hospital.
“ Tangan Azam patah ke?” Tanya Azam sambil memegang tangan kirinya yang berbalut, Mukanya mengerut kesakitan. Seluruh badan terasa sakit dan terdapat kesan calar di badannya.
“ Tangan Azam terseliuh je. Dalam beberapa hari lagi elok lah tue.” Jawab Dr. Maisarah sambil mengusap-usap kepala Azam.
“ Maafkan Azam papa, mama...Azam menyusahkan papa dan mama.”
“ Azam tak bersalah. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Papa dah laporkan kejadian nie dengan pihak polis. Tak tau lah pemandu tue dapat ditangkap atau tidak. Yang penting sekarang Azam selamat. Itu dah melegakan papa dan mama. Papa dan mama nak minta maaf dengan Azam kerana selama nie kami jarang bersama dengan Azam.” Dr. Amirul Fawaz sedar mereka tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa yang baik kepada Azam.
“ Ya, Azam. Papa dan mama janji tidak akan biarkan Azam keseorangan lagi. Mama akan berhenti kerja.” Dr. Maisarah menyuarakan perbincangan yang baru sebentar tadi dibincangkan dengan suaminya itu.
“ Betul ke mama?” Azam meminta kepastian dengan wajah yang girang. Dia memandang Dr. Maisarah dan memandang wajah Dr. Amirul Fawaz.
“ Betul...” Jawab Dr. Maisarah dan Dr. Amirul Fawaz serentak sambil tersenyum memandang Azam yang seakan-akan tidak percaya dengan berita itu.
Azam memeluk erat Dr. Maisarah dengan Dr. Amirul Fawaz yang duduk di katilnya itu. Akhirnya dia tidak akan kesunyian dan kebosanan di rumah lagi. Namun, masih ada lagi yang belum selesai. Azam berjanji akan merealisasikan impiannya selama ini.
Sejak hari itu, Dr. Maisarah telah meletakkan jawatannya sebagai doktor dan menumpukan sepenuh masa dengan hal-hal rumahtangga. Selama dua minggu di hospital, Azam begitu gembira sekali kerana sentiasa ditemani oleh Dr. Maisarah dan Dr. Amirul Fawaz yang menjenguknya apabila masa rehat. Dr. Maisarah menunaikan janjinya untuk berhenti kerja. Selepas dua minggu, Azam dibenarkan keluar dari hospital. Kes langgar lari yang dilaporkan oleh Dr. Amirul Fawaz masih lagi dalam siasatan polis dan peluang untuk menangkap lelaki yang melanggar itu juga sangat tipis. Dr. Amirul Fawaz telah memberikan hadiah sagu hati kepada Wak Karto yang menolong membawa Azam ke hospital walaupun pemberian itu ditolak oleh Wak Karto, namun Dr. Amirul Fawaz mendesak supaya menerima hadiahnya yang tidak seberapa itu. Akhirnya Wak Karto menerima sagu hati yang dberikan oleh Dr. Amirul Fawaz. Keluarga Azam juga telah mengadakan kenduri kesyukuran dan penduduk kampung dijemput hadir untuk memeriahkan majlis tersebut. Sejak kejadian itu juga, Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Mereka selalu sembahyang berjemaah dan kadang-kadang jika tidak bertugas pada waktu malam, Dr. Amirul Fawaz dan Azam akan pergi solat berjemaah di masjid. Azam amat bersyukur kerana disebabkan kejadian kemalangan itu, ibu bapanya sudah berubah dan perubahan itulah yang amat dinanti-nantikan oleh Azam selama ini. Lebai Nasir juga tumpang gembira dengan perubahan ibu bapa Azam dan mengkagumi semangat dan perilaku Azam yang sangat baik itu. Mak Siah dan Pak Din turut terkejut apabila mendapat berita kemalangan Azam dan bergeas balik ke rumah Dr. Amirul Fawaz dan Dr. Maisarah untuk melihat keadaan Azam yang sudah beransur baik. Kedua-dua pekerja itu masih lagi bekerja di rumah Dr. Amirul Fawaz. Mereka sangat gembira dengan keputusan Dr. Maisarah yang menumpukan masa sebagai suri rumah dan keceriaan Azam turut menyenangkan hati Mak Siah dan Pak Din.
No comments:
Post a Comment