Wajah masing-masing dibasahi peluh dengan cuaca yang panas membahang. Kanak-kanak berkejar-kejaran, anak-anak kecil ada yang menangis dan si ibu sibuk memujuk dan memarahi anak-anak yang yang aktif berlarian menganggu orang ramai yang bersesak-sesak dengan urusan masing-masing. Keadaan begitu bising sekali dengan bunyian muzik gong, keyboard, televisyen dan suara-suara manusia yang tidak diketahui tutur bicaranya. Di halaman rumah sebuah kem memuatkan tajau-tajau disusun kemas di sebelah-menyebelah meja panjang yang dibuat khas untuk meletakkan tajau-tajau. Tajau-tajau itu berisi sejenis minuman yang memabukkan dan dinamakan sebagai “tapai”. Di atas meja itu terhidang dengan pelbagai sup dan makanan tradisional seperti jeruk ikan dan daging serta “tuhau”. Kaum lelaki begitu asyik meminum minuman yang memabukkan itu dan rata-ratanya mereka berjalan terhuyung-hayang, wajah merona merah seperti udang terbakar, bercerita sambil ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang melucukan.
Di atas rumah pula, suasana binggit dengan suara-suara manusia saling bertingkah antara satu sama lain sambil sibuk ke hulu ke hilir menatang dulang berisi nasi dan lauk pauk, pinggan, cawan, teko dan pelbagai juadah. Makanan dan minuman tersebut dikumpulkan di ruang tamu rumah tersebut. Seorang perempuan tua sibuk mengatur makanan dan minuman sambil mulut becok memperkatakan sesuatu. Seorang perempuan yang muda dalam lingkungan 30-an memegang sebuah buku dan pen sambil mencatatkan sesuatu dan berbincang dengan beberapa lagi golongan wanita. Beberapa orang wanita membahagikan makanan dan minuman tersebut kepada tetamu. Para tetamu mengambil bahagian masing-masing dan apabila selesai makan tengahari, dulang dan teko yang digunakan tadi dipunggut kembali oleh tuan rumah. Para tetamu telah meletakkan duit di atas teko dan dulang tersebut berdasarkan harga yang telah ditetapkan oleh tuan rumah. Dua orang gadis sunti berumur 20-an sedang rancak berbual sambil memerhati suasana itu dan sekali sekala mengambil gambar yang menarik perhatian mereka.
“Lynee, uniknya perkahwinan kaum kamu ni...Selalu majlis perkahwinan buat berapa hari?” Sue Lin gadis Cina yang menetap di Kota Kinabalu telah bertandang di rumah Lynee di Nabawan untuk menyaksikan sendiri upacara perkahwinan kaum Murut dengan lebih dekat. Kamera digitalnya tergantung di leher dan sebuah buku kecil dikeluarkan sambil menunggu penerangan kawan baiknya itu. Sue Lin dengan Lynee penuntut tahun tiga di Universiti Malaysia Sabah.
Lynee memerhati perlakuan Sue Lin sambil tergelak kecil. Gaya kawan baiknya itu seperti seorang wartawan.
“Apasal ketawa nie? Saya tanya betul-betul la..” Sue Lin menampar lembut bahu kawannya itu.
“Maafla..Saya ketawa sebab kamu ni macam wartawan pula. Baiklah berbalik kepada soalan Sue tadi, biasanya perkahwinan Tinauh berlangsung selama 3 hari tetapi ada juga yang selama 5 hari.
“Lamanya…berian tu apa ya?
“Berian sama seperti mas kahwin dan jumlahnya memang mahal. Antara barang-barang yang diberi sebagai berian kepada keluarga pengantin perempuan ialah duit, tajau atau dalam bahasa Murut “sampa” sama ada kecil atau besar, gong atau “ahung” iaitu ada gong yang diperbuat daripada tembaga dan ada yang diperbuat daripada besi, kain seperti kain sarung “tapi”, manik-manik atau “bungkas”, barang kemas seperti cincin, gelang tangan, rantai, anting-anting, gelang kaki dan jam tangan. Barian yang dibawa oleh keluarga pihak lelaki akan dibahagi-bahagikan secara sama rata kepada keluarga yang terlibat dalam menjayakan tradisi perkahwinan adat ‘tinauh’ ini. Jika tujuh buah keluarga yang terlibat, maka barian-barian tersebut akan dibahagikan kepada tujuh bahagian. Barian-barian yang perlu dibahagi secara sama rata itu seperti gong-gong (ahung) , tajau-tajau (sampa’), kain ela (kain kinayuh), kain sarung (tapi), manik-manik (sisitan) dan barang kemas (rantai emas, gelang emas, jam biasa dan cincin emas). Pembahagian ini disaksikan oleh semua semua wakil keluarga terutama ibubapa. Dalam hal pembahagian barian ini keutamaan akan diberi kepada ibubapa pihak perempuan kerana merekalah yang paling banyak mengeluarkan belanja. Jom kita pergi ke kawasan kem pula.” Lynee mengajak Sue Lin yang begitu asyik mencatat sesuatu di nota kecilnya khusyuk mendengar penerangannya. Sue Lin tidak melepaskan peluang mengambil gambar yang menarik perhatiannya. Setibanya mereka di kawasan kem, ianya sangat sesak dengan orang ramai dan masing-masing punya gelagat yang tersendiri. Lelaki sedang minum tapai di kawasan lelaki dan kaum perempuan di bahagian mereka. Terdapat juga anak-anak muda bersiul mengusik Lynee dan Sue Lin tapi tidak diendahkan oleh mereka. Pengacara majlis membuat pengumuman dan suasana yang bising mula tenang. Pengacara majlis memberitahu bahawa upacara yang akan berlangsung nanti adalah upacara “memotong buluh”. Tempat bersanding pengantin dihias dengan buluh dan kayu yang di hiris-hiris di bahagian hujungnnya secara bertingkat-tingkat seperti berbentuk bunga tujuannya sebagai perhiasan dan kelihatan sangat cantik. Kedua-dua penggantin duduk tersenyum mengenakan pakaian tradisional Murut.
“Wah..uniknya tempat mereka bersanding. pakaian penggantin pun cantik dengan manik-manik yang dihias penuh teliti dan kreatif.” Sue Lin merakamkan tempat penggantin bersanding sambil berbisik di telinga Lynee penuh kagum dengan adat perkahwinan kaum tersebut. Lynee juga sibuk mengambil gambar penggantin dan para tetamu yang hadir.
“Tempat penggantin bersanding tu dinamakan sebagai “sasangiang”. Pakaian penggantin lelaki dan perempuan yang berlatarkan warna hitam dinamakan sebagai baju “pinongkoloh”. Sekarang Sue lihat pula upacara “memotong buluh”.” Lynee menunjuk ke arah tempat bersanding di mana terdapat sebatang buluh diikat melintang dan beberapa orang yang merupakan keluarga penggantin lelaki dan perempuan bercakap sesuatu dengan kedua-dua penggantin dan selepas itu mereka memotong buluh tersebut. Buluh tersebut mengeluarkan air dan air tersebut akan ditadah kemudian disapukan kepada kepala budak kecil.
“Apa yang mereka cakapkan tu? Kenapa pula mereka sapu air dekat kepala budak tu?” Sue Lin tertanya-tanya dengan perlakuan yang dianggapnya ganjil dan dia tidak memahami perkataan yang mereka sebut kerana menggunakan bahasa Murut.
“Keluarga penggantin lelaki dan perempuan memberi nasihat yang mengandungi pesanan yang ditujukan kepada kedua-dua pasangan supaya sentiasa memelihara hubungan keluarga mereka, tidak bergaduh antara satu sama lain, lelaki mestilah menjadi ketua keluarga yang baik serta bertanggungjawab dimana lelaki mestilah sentiasa menjaga kepentingan keluarga dari segi keselamatan, kesihatan dan ekonomi, lelaki tidak boleh mencederakan isterinya manakala si isteri pula dinasihatkan supaya sentiasa menghormati suaminya, tidak melawan dan membantah cakap suami, menjaga makan minum dan pakaian suami, melahirkan anak, serta menjaga anak-anak di rumah dan menjadi suri rumah yang baik. Melalui nasihat yang diberi itu diharap keluarga pasangan tersebut akan sentiasa berkekalan dan berbahagia sehingga ke akhir hayat. Kepala budak tu disapu dengan air dari buluh tersebut kerana mereka beranggapan bahawa air dari buluh itu sebagai air suci yang menandakan bahawa budak yang disapu dengan air itu akan beroleh kehidupan yang baik disamping menjadi anak yang berguna di masa akan datang.”
“Oh..Begitu rupanya. Semuanya mempunyai maksud yang tersirat. Eh...Pengacara cakap kedua-dua penggantin akan “mengalai”. “Mengalai tu apa?” Wajah Sue Lin berkerut kehairanan sambil memandang muka Lynee meminta penjelasan.
“Tarian “mengalai” adalah sejenis tarian tradisional suku kaum Murut. Tarian ini menjadi kebanggaan kaum Murut kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri dan mampu menarik perhatian semua orang yang pernah melihat tarian ini. Setiap keramaian pasti tarian ini akan dipersembahkan di khalayak umum. Pada hari tradisi perkahwinan adat ‘tinauh’ ini juga tarian “mengalai” akan ditarikan oleh mempelai lelaki dan mempelai perempuan serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Mereka akan memakai pakaian “pinongkoloh” dan dihiasai oleh beberapa perhiasan lain kemudian menari di tengah-tengah ruang tamu dengan membentuk satu bulatan besar kemudian menari sambil berpusing. Mereka menari sambil diiringi oleh bunyi tujuh jenis gong yang dipalu oleh beberapa orang tengah atau “angkaunan”. Orang yang menari ini akan berhenti setelah bunyi gong dihentikan. Tarian “mengalai” ini mengambil masa setengah jam barulah mereka berhenti menari. Biasanya tarian “mengalai” ini akan diadakan setelah pasangan pengantin sudah habis disandingkan. Tujuan mengadakan tarian ‘mengalai’ ini adalah sebagai tanda kesyukuran keatas pasangan yang sudah habis disandingkan , merapatkan hubungan antara kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan keluarga perempuan serta memeriahkan lagi adat ‘tinauh’ ini.” Lynee menerangkan secara panjang lebar untuk memudahkan Sue Lin memahami adat kaumnya itu.
“Kalau Tarian Mangunatip atau Tarian Buluh dan Tarian Sumazau, Sue dah pernah tengok. Sue sangat suka melihat Tarian Mangunatip kerana ianya sangat mencabar apabila penari-penari menari dengan cekap. Dulu Sue tertanya-tanya kenapa nama tarian itu dinamakan sebegitu rupa. Rupa-rupanya mangunatip berasal dari perkataan ‘apit’ yang bermaksud “sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan ketika menari.”
“ Ya. Tarian Mangunatip ditarikan dengan iringan pukulan gong pada awal tarian tetapi semasa buluh dilagakan, bunyi gong tidak diperlukan lagi kerana bunyi buluh yang dilagakan akan mengeluarkan bunyi yang kuat dengan irama yang menarik dan unik. Sebenarnya Setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh.
Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.”
Suasana beransur redup. Kitaran jam tidak terasa begitu pantas masa berlalu. Sue Lin duduk di kerusi yang disediakan di kem tersebut sambil melihat jam tangannya sudah menunjukkan jam 5.10 petang. Lynee menghilang entah di mana. Dia begitu leka mengambil gambar sehingga tidak menyedari Lynee tiada di sebelahnya. Matanya liar memerhati gelagat tetamu dan tuan rumah yang masing-masing sibuk menguruskan sesuatu. Terdapat juga mata-mata yang memandangnya. Mungkin hairan melihat kehadirannya di tengah-tengah kelompok mereka. Sue Lin hanya melemparkan senyuman apabila ada yang menyapanya dengan menggunakan bahasa Murut yang langsung tidak difahaminya. Bunyi gong memeriahkan suasana melahirkan bunyi-bunyian yang merdu didengar. Di kejauhan celah-celah orang ramai yang sedang lalu-lalang di halaman rumah, dia terlihat Lynee tersenyum menuju ke arahnya sambil memegang dua botol air mineral. Tiba-tiba tekaknya merasa dahaga.
“Hai..Sorry..Tadi Lynee pergi bilik air. Sue sibuk ambil gambar tadi sebab tu tak sempat nak bagitau. Ambil la air ni.” Lynee menerangkan perkara sebenar dan menyuakan sebotol mineral water kepada Sue Lin.
“Its ok..Sue seronok tengok gelagat mereka. Tadi ada orang tegur Sue tapi Sue tak faham apa dia cakap jadi Sue senyum je.” Sue Lin meneguk air membasahkan tekaknya yang kering kehausan. Lynee hanya tergelak kecil mendengar cerita Sue Lin.
“Mari kita pergi sebelah
Penggantin lelaki melambungkan gula-gula ke atas, dan semua kanak-kanak berebut-rebut untuk mendapatkan benda-benda tersebut. Selepas itu, duit syiling pula dilambungkan ke atas dan kanak-kanak masing-masing mahu emngumpulkan sebanyak mungkin duit syiling dan gula-gula yang dilambungkan tadi. Ibu bapa dan hadirin yang memerhati gelagat anak-anak yang terpaksa mencari duit syilling di celah-cekah rumput tergelak-gelak lucu dengan telatah kanak-kanak tersebut. Suasana pada ketika ini adalah sangat meriah, ia seperti satu pesta dan satu jenis permaianan yang dikhaskan untuk kanak-kanak. Sue Lin dan Lynee tidak melepaskan peluang merakam dan mengambil gambar-gambar kanak-kanak yang mencuit perasaan.
“Berapa jumlah duit syiling dilambung oleh penggantin lelaki tadi?” Tanya Sue Lin sambil mengunyah gula-gula yang diberi oleh penggantin lelaki kepada mereka.
“Sudah menjadi satu kewajipan pihak lelaki menyediakan duit syiling dan gula-gula untuk diberi kepada semua kanak-kanak, biasanya duit syiling mengandungi jumlah sebanyak RM 20.00 ringgit dan dua plastik gula-gula untuk menampung jumlah kanak-kanak yang menyertai acara itu.” Lynee menjawab sambil mengambil gambar.
“Da gelap ni. Jom kita balik. Nanti malam kita datang sini lagi,” tambah Lynee. Sue Lin hanya menurut kerana dia pun amat letih sehari suntuk di rumah penggantin. Rumah penggantin tidak berapa jauh dengan rumah Lynee kerana penggantin perempuan tersebut merupakan sepupunya yang bekerja sebagai guru dan penggantin lelaki itu juga sebagai guru dan mereka mengajar di sekolah yang sama.
Usai membersihkan diri dan makan malam, Lynee dan Sue Lin duduk berehat sambil melihat rancangan berita di televisyen. Keluarga Lynee semuanya masih di rumah penggantin menolong apa yang patut.
“Malam ni upacara apa pula Lynee?” Tanya Sue Lin sambil memakan buah mangga masak yang sudah dihiris oleh Lynee.
“Malam ni upacara minum tapai je. Mereka minum sampai pagi. Semasa minum tapai, gong akan dipalu dan beberapa orang akan menari beramai-ramai sambil menyanyi lagu yang disebut “andui-andui.” Lynee turut memakan mangga yang masak ranum itu.
“Tak fahamlah Lynee. Apa tujuan mereka menyanyikan lagu itu?” Perasaan ingin tahu sangat mendalam hati Sue Lin untuk mengetahui adat perkahwinan tradisional suku kaum Murut yang pada pandangannya sangat unik dan mempunyai fungsi tersirat di setiap upacara yang berlangsung sepanjang majlis itu.
“Nanti saya terangkan. Jom kita pergi rumah penggantin. Nanti Sue tak sempat pula tengok upacara “andui-andui” tu.” Lynee bingkas bangun sambil memegang kamera digital kesayangannya itu.
“Jomla..” Sahut Sue Lin sambil berdiri menyangkutkan kameranya di leher. Dia sememangnya tidak sabar-sabar untuk menyaksikan upacara “andui-andui”.
Setelah memastikan semua pintu berkunci, Lynee dan Sue Lin meninggalkan rumah menuju ke rumah penggantin. Dari jauh lagi bunyi gong kedengaran. Apabila sampai di rumah penggantin, para tetamu sedang menjamu selera. Kanak-kanak ada yang tidur bergelimpangan. Mungkin penat bermain seharian. Apabila bercakap, mereka terpaksa menjerit melawan bunyi bising gong. Di kawasan kem, masih ramai lagi yang sedang minum tapai dan ada yang terlantar di lantai tidur dalam keadaan mabuk. Malah, ada juga peminum yang membuang air kecil tanpa melihat keadaan sekeliling lantas membuang tanpa menyedari ada mata-mata yang terlihat perbuatannya itu. Tapi orang yang sedang mabuk tidak dapat mengawal akalnya lagi. Beberapa orang lelaki yang melihat kejadian itu hanya bersorak mengetawakan perbuatan lelaki tersebut. Tidak lama kemudian upacara “andui-andui” pun bermula. Golongan veteran dan dewasa sama ada lelaki atau perempuan sama-sama menyanyikan lagu “andui-andui” sambil mengelilingi kawasan tempat minum tapai. Mereka yang minum tapai pula seolah-olah berlumba-lumba menghabiskan minuman tersebut. Sue Lin dan Lynee terus mengambil gambar dan merakamkan upacara “andui-andui” itu.
“Apa tujuan upacara “andui-andui” ni dinyanyikan?” Soal Sue Lin sambil memerhati mereka menyanyikan lagu “andui-andui” seolah-olah satu upacara pemujaan.
“Sebenarnya, “andui-andui” adalah satu nyanyian bagi kaum Murut yang dinyanyikan semasa mengadakan keramaian terutama sekali semasa meminum tapai. Setiap keramaian pasti ada pesta minum tapai. Semasa tradisi perkahwinan “tinauh”, “andui-andui” turut dinyanyikan. Ia seperti satu kemestian pihak tuan rumah untuk menyanyikan lagu “andui-andui” kepada tetamu. Jika lagu “andui-andui” tidak dinyanyikan, ia umpama tidak menghargai dan tidak menyeronokkan hati si peminum tapai. “Andui-andui” merupakan satu nyanyian bagi mereka sebagai menghiburkan hati dan memberikan perangsang kepada si peminum tapai itu supaya cepat sampai tanda yang disebut “Tap” atau “Lokop” iaitu kira-kira dua atau tiga gelas air pada satu “Lokop” yang dimasukkan dalam tajau. Airnya akan diminum dan sekiranya sudah kurang air maka sukatan tiga gelas air akan dimasukkan ke dalam tajau dan begitulah sebaliknya sehinggalah tapai tersebut sudah tawar dan harus digantikan dengan tapai baru oleh pihak tuan rumah sehinggalah bekalan tapai habis.” Lynee secara terperinci memberi penerangan yang jelas untuk memahamkan Sue Lin.
Begitulah pengalaman-pengalaman dan kenangan manis yang begitu bermakna dalam hidup Sue Lin. Keramahan keluarga Lynee dan keluarga penggantin menyentuh hati Sue Lin. Dia dilayan seperti anak sendiri dan selama tiga hari di rumah Lynee, dia tidak merasa kekok kerana layanan mereka amat mesra sehingga dia merasa berat hati mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Lynee. Malah, keluarga tersebut mempelawanya datang ke rumah bila-bila masa sahaja. Masih banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya mengenai adat-adat suku kaum Murut yang begitu unik. Dia berazam meneroka dan mempelajari budaya-budaya bangsa lain untuk dijadikan panduan kelak. Suatu hari nanti dia akan kembali lagi di daerah Nabawan.
No comments:
Post a Comment